mutakhir

Bentang pindaan tiga akta

Putrajaya: Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar akan membentangkan pindaan undang-undang terhadap tiga akta di bawah kementerian itu pada sesi persidangan Dewan Rakyat, April ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, akta berkenaan adalah Kanun Tanah Negara 1965, Akta Pengambilan Tanah 1960 dan Akta Hakmilik Strata 1985.

Katanya, pindaan itu perlu dibuat kerana banyak undang-undang dalam kementerian berusia antara 30 hingga 40 tahun dan tidak relevan pada masa kini, sekali gus dapat menangani masalah yang timbul berhubung perkara itu.

“Bagi pindaan Akta Pengambilan Tanah 1960, kerajaan akan memasukkan peruntukan pengambilan tanah di bahagian bawah bagi pembinaan terowong. Ini bermakna tanah di bahagian atas masih milik tuan tanah, tetapi kerajaan mengambil tanah di bahagian bawah untuk manfaat rakyat.

“Kalau kerajaan nak bina terowong, kita tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil tanah itu, sebaliknya keadilan masih diberikan kepada tuan tanah dan kita akan mengenal pasti sistem tertentu untuk gantian tanah itu seperti pengiktirafan kepada tuan tanah dan pampasan,” katanya pada sidang media selepas meghadiri Perhimpunan Bulanan dan Amanat Tahun Baharu 2016 Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar di sini, semalam.

Turut hadir, timbalannya, Datuk Hamim Samuri.

Wan Junaidi berkata, pindaan terhadap Akta Hakmilik Strata 1985 juga akan membolehkan 200,000 pemilik rumah pangsapuri dan flat yang dibina kerajaan serta pihak berkuasa tempatan mendapat hak milik strata bagi kediaman mereka.

Katanya, pindaan itu akan membantu pemilik rumah dari segi sosial dan pegangan harta, selain mampu meningkatkan harga rumah sehingga 30 peratus.

Disiarkan pada: January 20, 2016 @ 6:39am
d