mutakhir

RM10j naik taraf Zoo Taiping, Safari Malam

Taiping: Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) memperuntukkan RM10 juta kepada Majlis Perbandaran Taiping (MPT) bagi pembangunan dan naik taraf Zoo Taiping dan Safari Malam.

Yang Dipertua MPT Datuk Abd Rahim Md Ariff berkata, sumbangan itu bagi memberikan wajah baru dan menyediakan kemudahan lebih baik kepada pengunjung yang mengunjungi zoo tertua di negara ini.

“Sehingga kini, pembangunan bagi fasa pertama dan kedua sudah selesai membabitkan pembangunan infrastruktur seperti pejabat pentadbiran, kaunter tiket, galeri maklumat pelancongan, laluan berbumbung, papan penerangan, sistem pencahayaan, naik taraf pameran Gajah-gajah Sungai Perak dan Pameran Savana Afrika serta Stesen Tram,” katanya pada sidang media, di sini, semalam.

Abd Rahim berkata, projek menaik taraf kawasan dan membina 12 kandang baharu haiwan dilaksanakan bermula awal tahun lalu dan dijangka siap pertengahan pada pertengahan tahun ini dengan kos RM3.8 juta.

Katanya, MPT juga menerima peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebanyak RM300,000 bagi menaik taraf sebuah restoran di hadapan Zoo Taiping serta peruntukan RM88,504 untuk menaik taraf kios bagi menggantikan dua kios cenderahati dalam kawasan zoo untuk menjual makanan dan minuman ringan yang beroperasi Disember tahun lalu.

Beliau berkata, pihaknya yakin pembaharuan dilakukan dalam Zoo Taiping & Safari Malam dapat menarik dan menambah jumlah pengunjung tempatan dan luar negara ke situ.

Abd Rahim berkata, tahun lalu seramai 452,125 orang mengunjungi Zoo Taiping, manakala seramai 82,306 orang pula mengunjungi Safari Malam menjadikan jumlah keseluruhan pengunjung ke zoo berkenaan ialah 624,430 orang.

“Jumlah itu menunjukkan pengurangan pengunjung berbanding pada 2014 apabila 637,260 orang datang ke zoo berkenaan.

“Sasaran bagi tahun ini ialah 700,000 orang bagi pengunjung Zoo Taiping dan Safari Malam,” katanya.

Abd Rahim yakin sasaran itu dapat dicapai berikutan penambahbaikan infrastruktur zoo itu serta penambahan haiwan baharu seperti monyet Belanda atau Proboscis, kijang Afrika (Antelope) dan kambing gurun (Serow).

Katanya, monyet Belanda akan diperolehi dari Sabah, kijang Afrika akan dibeli dari benua berkenaan manakala kambing gurun pula akan diselamatkan dari kawasan Bukit Antarabangsa, Selangor, yang menjadi viral dalam media sosial baru-baru ini kerana kelihatan berkeliaran di kawasan perumahan di situ.

Terdahulu, Abd Rahim turut melepaskan ular sawa sepanjang enam meter dan seberat 100 kilogram berusia antara 18 hingga 20 tahun ke dalam kandang baharu di zoo berkenaan.

Ular sawa itu diberikan oleh penduduk tempatan kepada zoo berkenaan selepas diperangkap pada 2013.

Disiarkan pada: January 20, 2016 @ 6:52am
d