mutakhir

Tolong patuh...

Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Kuala Lumpur: “Jangan jadikan perarakan ini (Thaipusam) sebagai pengecualian untuk melakukan kesalahan lalu lintas,” kata Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur Deputi Superintendan S Markandan berhubung acara perarakan perayaan Thaipusam bakal bermula Jumaat ini.

Menurutnya, ada sesetengah pihak cuba mengambil kesempatan dengan melakukan kesalahan seperti memandu melawan arus, meletakkan kenderaan di kawasan larangan dan berlumba motosikal ketika perayaan berlangsung.

“Saya menasihati penganut agama Hindu dan pengunjung supaya mematuhi undang-undang dan peraturan bagi mengelak sebarang masalah berlaku.

“Bagi kenderaan yang diletakkan di laluan tidak dibenarkan, polis akan sita dan saman kerana tindakan itu mengganggu kelancaran perjalanan perarakan,” katanya ketika ditemui, semalam.

S Markandan berkata, sebanyak 21 jalan di sekitar bandar raya akan ditutup secara berperingkat bermula pada 22 Januari sehingga 26 Januari ini bagi memberi laluan perarakan sempena perayaan Thaipusam.

“Perarakan bermula pada jam 10 malam jumaat ini dari Kuil Sri Maha Mariamman, di Jalan Tun H S Lee dan akan melalui Jalan Sultan, Jalan Pudu, Jalan Tun Perak, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Ampang, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Dang Wangi, Sogo, Jalan Raja Laut, Jalan Sri Amar, Jalan Tun Razak (pusingan-U depan Bomba), Jalan Ipoh (Jalan Salleh), Jalan Kovil Hilir, Lorong Konvil Hulu, Jalan Perhentian, Jalan Ipoh, Jalan Ipoh Batu 5 dan Batu Caves.

“Hanya di Jalan Tun H S Lee, polis akan tutup secara keseluruhan pada Jumaat ini bagi memudahkan pergerakan perarakan berkenaan.

“Penutupan jalan akan dilakukan secara berperingkat-peringkat mengikut pergerakan kumpulan perarakan dan hanya akan dibuka semula setelah mereka (kumpulan perarakan) melalui jalan tersebut,” katanya.

Katanya, penutupan jalan untuk perarakan pulang akan dilakukan pada jam 4 petang, 25 Januari bermula dari Kuil Sri Subramaniar di Batu Caves, seterusnya melalui Jalan Ipoh, Batu 5, Jalan Ipoh, Jalan Perhentian, Lorong Konvil Hulu, Jalan Kovil Hilir, Jalan Tun Razak, Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut, Jalan Dang Wangi, Jalan Munshi Abdullah, Jalan Ampang, Jalan Lebuh Ampang, Jalan Tun Perak, Jalan Sultan, Jalan Hang Kasturi, Jalan Hang Lekir dan Kuil Sri Maha Mariamman Jalan Tun H.S Lee.

“Orang ramai disaran menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan kesesakan jalan raya pada hari berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2016 @ 6:47am
d