mutakhir

Hentian Puduraya lengang

Kuala Lumpur: Sepi dan lengang. Itu gambaran terkini di Pudu Sentral atau lebih dikenali Hentian Puduraya yang menjadi tumpuan orang ramai sejak 40 tahun lalu.

Bermula 1 November lalu, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) dan pihak pengendali bas mencapai kata sepakat berhubung perpindahan operasi Bas Ekspres Koridor Utara dari Pudu Sentral ke Terminal Bandar Tasik Selatan (TBS) yang membabitkan perjalanan ke Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis.

Tinjauan Harian Metro di Pudu Sentral mendapati rata-rata pengguna bas jarak dekat berasa lebih selesa dan selamat kerana sudah tiada gangguan daripada ‘ulat tiket’.

Pelajar Saadah Rajei, 26, berkata, perpindahan operasi bas ekspres membabitkan perjalanan jarak jauh itu adalah satu langkah wajar bagi membanteras kegiatan ‘ulat tiket’ yang berleluasa di situ.

“Saya baru pulang dari Sarawak dan terkejut apabila kawasan sekitar hentian kelihatan sangat lengang berbanding tahun lepas yang mana lokasi ini sentiasa sesak dengan orang ramai,” katanya.

Berkongsi pandangan sama, ejen pelancongan Zulkarnain Mohamad Noor, 50, berkata, perpindahan operasi bas itu sangat wajar namun pihak pengurusan perlu menampal notis kerana sesetengah masyarakat atau pelancong masih tidak tahu mengenainya.

Disiarkan pada: January 21, 2016 @ 6:48am
d