mutakhir

Mesin lupus buangan dapur

Oleh Zuhainy Zulkiffli

Georgetown: Tukar sisa makanan jadi bahan bakar, itu kejayaan sekumpulan penyelidik dari Universiti Sains Malaysia (USM) yang berjaya mencipta mesin memproses bahan buangan organik menjadi karbon yang diberi nama Pengkarbon Sisa Buangan Dapur atau Kitchen Waste Carbonizer.

Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik, Kampus Kejuruteraan USM Prof Zainal Alimuddin Zainal Alauddin berkata, mesin yang seumpamanya di Malaysia itu berupaya menangani masalah pelupusan sisa dapur.

Beliau berkata, walaupun sisa organik tinggi dengan kandungan air, mesin itu mampu menjalankan proses pengeringan dan mengubah sampah menjadi produk karbon yang boleh digunakan sebagai bahan api tanpa asap gred tinggi.

“Mesin berkenaan boleh menampung sisa organik sehingga 20 kilogram (kg) dan akan dipanaskan selama tiga jam dengan suhu dari 300 hingga 450 darjah Celsius.

“Haba yang dihasilkan menyebabkan kandungan haba sisa berkenaan tersejat, manakala sisa yang tinggal akan membentuk karbon dan boleh digunakan sebagai bahan bakar bagi memasak, pemanasan domestik dan baja tumbuhan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Zainal Alimuddin berkata, ciptaan yang sudah diuji di makmal dan mengikut spesifikasi itu juga direka dalam bentuk kompak serta menjimatkan ruang pemasangan selain dilengkapi butang kawalan.

Katanya, syarikat tempatan, Ultra Energy Resources Sdn Bhd di Kulim, Kedah sudah menjadi rakan usaha sama sejak 2012 selain membantu dalam pemasaran dan penjualan peralatan di dalam dan luar negara.

“Kira-kira RM15,000 digunakan sebagai kos bagi menghasilkan mesin ini dan ia boleh dipasarkan dengan harga RM40,000 seunit.

“Mesin ini berpotensi digunakan kepada hotel, restoran, asrama pelajar, kantin sekolah selain dapat mencegah bau dalam kawasan kejiranan atau tapak pelupusan sampah,” katanya.

Penyelidikan Pengkarbon Sisa Buangan Dapur sejak 1992 itu dijalankan melalui pembiayaan geran USM RM195,000.

Disiarkan pada: January 21, 2016 @ 6:49am
d