mutakhir

Aduh malu!

Oleh Nor Akmar Samudin

Kuala Lumpur: Kesilapan pelakon Arja Lee, 33, tertinggal telefon bimbitnya dalam tandas di pusat beli-belah di sini, dua hari lalu mengundang padah apabila video dia menimang bola dengan hanya memakai seluar dalam dan kemeja-T yang disimpan dalam telefon itu menjadi ‘viral’ pagi semalam.

Arja atau nama sebenarnya Azharudin Ramli ketika ditemui berkata, ketika dia menyedari telefon itu tertinggal di dalam tandas dan berpatah balik untuk mengambilnya, namun lesap.

“Waktu itu saya hanya fikir mengenai telefon hilang. Saya tak terlintas pun mengenai segala maklumat, gambar dan video yang disimpan dalam telefon itu hinggalah apabila video itu menjadi ‘viral’ pagi tadi (semalam),”katanya.

Dalam video berdurasi 12 saat yang dimuat naik dalam Instagram itu, Arja dilihat cuba menimang bola dengan hanya memakai kemeja-T dan seluar dalam putih.

Arja berkata, dia yakin individu yang mencuri telefonnya itu yang memuat naik video terbabit dalam akaun Instagram milik Arja menggunakan telefon berkenaan.

“Saya tidak gelabah kerana bukan saya yang muat naik video itu. Saya yakin ia dilakukan pencuri telefon itu. Namun, saya tidak boleh salahkan sesiapa kerana perkara itu sudah pun terjadi,” katanya.

Arja berkata, dia membuat dua laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail dan Kota Damansara, di sini semalam sebelum meminta syarikat telekomunikasi menutup akaun telefon itu.

“Ada banyak maklumat peribadi dalam telefon itu seperti nombor akaun bank dan lain-lain. Saya lega kerana dapat selesaikan semuanya tengah hari tadi (semalam),” katanya.

Bercerita mengenai video itu, Arja berkata, ia dirakam di dalam rumahnya di Kota Damansara, di sini, baru-baru ini.

“Kebetulan dalam rumah itu ada kawasan lapang seperti lorong dan saya yang tidak mahir bermain bola sepak dicabar rakan untuk menimang bola.

“Dia yang merakam video itu dan hanya untuk simpanan saja. Dalam hal ini saya tidak salahkan sesiapa, cuma selepas ini saya akan lebih berhati-hati dan meletakkan kata kunci di telefon saya,” katanya.

Disiarkan pada: January 21, 2016 @ 7:13am
d