mutakhir

'Tiada jalan mudah'

Oleh Siraj Mohd Zaini

Shah Alam: “Tiada jalan mudah untuk berjaya. Saya tinggal di asrama, ketepikan perasaan rindu terhadap keluarga, banyakkan baca Ma’thurat pada waktu pagi dan solat berjemaah,” kata pelajar yang memperoleh keputusan 10 Mumtaz Sufi (paling cemerlang) Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2015, Nurul Amirah Rosli, 19.

Anak kepada pekerja kilang dari Kampung Melayu Sungai Buloh itu berkata, berkat doa ibu bapanya selain tunjuk ajar guru serta rakan membolehkannya mendapat keputusan terbaik.

“Rumah jauh dari sekolah, bila rindukan keluarga, rakan sekolah akan beri dorongan untuk berusaha sampai berjaya.

“Mak dan ayah tidak letakkan apa-apa sasaran, mereka cuma mahu lihat saya lulus. Mungkin mereka menangis gembira apabila mendapat tahu saya mendapat 10 Mumtaz dalam semua mata pelajaran STAM tahun lalu,” katanya ketika ditemui di Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah (SAMTTAJ), semalam.

Menurut Nurul Amirah, sejak kecil, dia minat pada mata pelajaran bahasa Arab dan ia satu daripada sebab dia mengambil STAM tahun lalu.

“Saya bercita-cita menjadi pensyarah dan saya yakin mampu menggapai impian berkenaan sekiranya terus berusaha bersungguh-sungguh selain taat kepada ibu bapa, guru juga bertawakal kepada Allah SWT,” katanya.

Anak sulung daripada enam beradik itu antara 19 pelajar SAMTTAJ yang memperoleh keputusan Mumtaz bagi STAM 2015. Keputusan berkenaan diumumkan pengetua sekolah itu, Hashim Fahmi Ahmad Shauki.

Disiarkan pada: January 22, 2016 @ 6:44am
d