mutakhir

Meluru kebas RM400,000

Oleh Mohd Hilmie Hussin dan Nur Saliawati Salberi

Melaka: Empat individu diburu polis dipercayai terbabit dalam kes rompakan bank di Pulau Sebang, di sini, membabitkan kerugian RM400,000, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam itu, beg berisi wang hasil kutipan bank terbabit dibawa seorang pekerja syarikat keselamatan dirompak seorang lelaki yang menaiki Toyota Hilux berwarna hitam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Muhammad Ismail Muhammad Yusuf berkata, ketika kejadian, sekumpulan enam pekerja syarikat keselamatan baru selesai mengambil wang kutipan berjumlah RM400,000 daripada mesin deposit bank terbabit sebelum seorang daripada mereka membawa beg mengandungi wang untuk disimpan ke dalam van.

“Ketika berjalan menuju ke arah van, pacuan empat roda Toyota Hilux tiba-tiba menghampiri van berkenaan sebelum seorang suspek meluru ke arah pengawal keselamatan yang membawa beg berkenaan.

“Selepas berlaku pergelutan dan merampas beg berkenaan, suspek berlari masuk ke bahagian tempat duduk belakang Toyota Hilux itu sebelum meninggalkan lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, hasil rakaman kamera litar tertutup (CCTV), polis mendapati pacuan empat roda terbabit dipercayai dinaiki empat individu termasuk suspek yang turun dan melarikan beg berkenaan.

“Hasil semakan turut mendapati kenderaan terbabit menggunakan nombor pendaftaran palsu selain rakaman CCTV mendapati Toyota Hilux itu berada di luar bank dalam keadaan mencurigakan ketika pengawal keselamatan berkenaan sedang mengambil wang.

“Semua enam pengawal keselamatan itu ditahan di lokasi kejadian jam 12 tengah malam bagi membantu siasatan dan akan dibebaskan sebaik siasatan selesai. Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan rompakan berkumpulan dan bersenjata,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2016 @ 6:48am
d