mutakhir

SMS bekas tunang halang ke Syria

Oleh Nor Azura Abdul Jalil

Kuala Lumpur: Seorang bekas penuntut sebuah universiti awam di Perlis dihukum penjara dua tahun oleh Mahkamah Tinggi di sini, semalam selepas mengaku salah atas pertuduhan memberi sokongan kepada militan Negara Islam (IS), dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Mohammad Arif Wan Rokman, 24, dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh tangkap pada 28 Disember 2012.

Mengikut pertuduhan, Wan Mohammad Arif dituduh cuba memberi sokongan kepada IS dan berhasrat menjadi ahli kumpulan itu pada 28 Disember 2014, jam 10.15 malam di hadapan pintu C15 Balai Pelepasan Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum mengambil penerbangan Turkish Airlines ke Istanbul.

Pelajar tahun akhir jurusan kejuruteraan marin itu didakwa mengikut Seksyen 130 J (1)(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama dan boleh dihukum mengikut Seksyen 130J yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan bagi melakukan kesalahan itu.

Sebelum menjatuhkan hukuman, Azman berkata, tindakan tertuduh ke Syria dan mempengaruhi rakan di kampus adalah berbahaya kepada dirinya dan masyarakat.

Selain itu, tertuduh juga meninggalkan pelajaran ketika berada di tahun akhir dan hanya berbaki enam bulan sebelum tamat pengajian peringkat ijazah.

“Awak abaikan tanggungjawab sebagai anak terhadap ibu bapa dan keluarga. Beri sumbangan dengan membantu keluarga juga akan mendapat ganjaran pahala yang besar bukan meninggalkan keluarga untuk pergi ke negara huru-hara itu,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada Oktober 2014, Wan Mohammad Arif menyatakan hasrat menyertai kumpulan IS untuk berjihad dan mati syahid kepada abang, bekas tunangnya dan rakannya, namun mereka tidak bersetuju dan menasihatkan tertuduh supaya berubah.

Tertuduh yang tidak mengendahkan nasihat itu menghubungi beberapa kenalan Facebook bagi meminta bantuan mereka dalam usaha memudahkannya untuk berhijrah ke Syria.

Ketika berada di KLIA pada hari kejadian, tertuduh memaklumkan kepada bekas tunangnya bahawa dia sudah mendapat tiket penerbangan untuk ke Turki pada jam 11.30 malam hari sama, sebelum wanita itu menghantar mesej melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada bapa tertuduh bagi memaklumkan perkara itu.

Tertuduh ditangkap anggota polis sebaik bapanya membuat laporan mengenai kegiatan anaknya.

Disiarkan pada: January 22, 2016 @ 7:00am
d