mutakhir

Catatan terakhir

Ini catatan terakhir dari Pulau Lesbos untuk tatapan pembaca dan kami berterima kasih kerana diberi peluang berkongsi cerita di Harian Metro.

Genap seminggu berkongsi suka duka di akhbar ini, pastinya perasaan kami bercampur-baur kerana setiap hari ada saja kisah baru didengar daripada pelarian berbeza yang mendarat di sini.

Dengan hanya berbekalkan sebuah beg untuk menyeberangi sempadan dari Turki ke Pulau Lesbos menaiki bot getah, bukan semua mampu bertahan kerana cuacanya sangat sejuk sehingga mencecah -3 darjah celsius dan keadaan bertambah buruk apabila hujan atau salji.

Semalam (kelmarin), dua warga Afghanistan iaitu kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan wanita berusia 40 tahun meninggal dunia sebaik tiba di Pulau Lesbos akibat hipotermia iaitu keadaan suhu badan yang jauh lebih rendah daripada paras normal.

Apabila berlaku kematian, jenazah Muslim biasanya diuruskan oleh sukarelawan Muslim dan Kerajaan Greece juga ada menyediakan sebuah lot tanah di kawasan berhampiran kem sebagai tanah perkuburan Islam.

Seorang rakan sukarelawan memberitahu kami, awal Disember tahun lalu terdapat lebih 60 jenazah Muslim tersimpan di bilik beku selama beberapa hari kerana ketiadaan sukarelawan Muslim untuk menguruskannya.

Namun, kini keadaannya bertambah baik kerana ada sistem pengurusan jenazah mengikut agama pelarian yang diselenggara Kerajaan Greece dengan kerjasama sukarelawan antarabangsa.

Malah, setiap sukarelawan yang berkhidmat diminta menulis kemahiran masing-masing seperti menguruskan jenazah dan beberapa rakan sukarelawan juga sudahpun bersedia menghadapi kemungkinan ini dengan set pengurusan jenazah.

Cabaran utama adalah bahasa yang berbeza dan ini membataskan komunikasi kami untuk mendapatkan maklumat daripada pelarian terutama apabila ada antara mereka yang sakit.

Kadangkala penterjemah yang ada terpaksa berkejar ke merata tempat seperti hospital, tempat pendaftaran dan khemah kerana tidak semua pelarian fasih berbahasa Inggeris atau Arab.

Begitupun ada juga sukarelawan dari Kanada dan Switzerland yang boleh berbahasa Turki untuk berkomunikasi dengan sebilangan pelarian dari Syria terutama dari wilayah Aleppo.

Meskipun kami akan pulang ke tanah air tidak lama lagi (Azura pulang pada 31 Januari ini dan Zaleha pulang pada pertengahan Februari), kami berharap bantuan kepada pelarian akan terus disalurkan kepada badan lain yang menjalankan kerja sukarelawan, di sini.

Walaupun hanya mampu menghidangkan teh dan buah-buahan untuk pelarian, itu cukup bermakna bagi mereka yang dalam kesejukan dan kelaparan, malah senyuman dan sapaan itu pun satu sedekah.

Disiarkan pada: January 22, 2016 @ 7:01am
d