mutakhir

PM sumbang RM20,000 bantu baik pulih madrasah terbakar

Dengkil: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyumbang RM20,000 kepada Madrasah Tahfiz Al Ridzuan Kampung Dato’ Ahmad Razali, dekat sini, yang terbakar Isnin lalu.

Sumbangan disampaikan Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor Datuk Noh Omar kepada pengetuanya, Ishak Jamil bagi pihak Perdana Menteri ketika turun padang melawat madrasah berkenaan.

Noh berkata, sumbangan itu digunakan untuk menaik taraf dewan orang ramai yang terletak di hadapan bangunan sekolah untuk dijadikan asrama sementara bagi menempatkan pelajar.

Menurutnya, kos baik pulih diperlukan sebanyak RM40,000.

“Usaha membaik pulih balai raya ini bagi membolehkan mereka memulakan sesi pembelajaran secepat mungkin.

“Menerusi sumbangan ini kita berharap bangunan ini (balai raya) dapat dibaik pulih segera sebagai tempat tinggal sementara pelajar tahfiz,” katanya selepas melawat madrasah berkenaan di sini, semalam.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dengkil Shahrum Mohd Sharif.

Dalam kejadian jam 9 malam, 30 pelajar Madrasah Tahfiz Al-Ridzuan hilang tempat tinggal apabila asrama mereka musnah dalam kebakaran dipercayai akibat litar pintas.

Ketika kejadian, pelajar sedang solat berjemaah di Masjid As Sharif bersebelahan asrama dan tiada kecederaan dilaporkan.

Sementara itu, Ishak berkata, sebelum ini pihaknya menerima beberapa sumbangan daripada orang ramai dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dalam bentuk wang tunai, makanan dan peralatan bagi pelajar tahfiz.

“Jumlah duit disumbangkan setakat ini mencecah RM25,000 dan ia digunakan untuk membeli kelengkapan asas pelajar seperti katil, almari dan pakaian.

“Jika semuanya berjalan lancar, pelajar boleh memulakan sesi pembelajaran seperti biasa minggu depan, namun sekiranya terdapat perubahan, kami akan maklumkan kepada mereka,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2016 @ 7:08am
d