mutakhir

Dua ditahan dalam Op Ikrar

Alor Setar: Dua wanita warga asing yang bekerja sebagai tukang urut ditahan Jabatan Imigresen negeri dalam Op Ikrar di sebuah pusat urut di Jalan Putra di sini, kelmarin.

Pengarah Jabatan Imigresen negeri Mohd Yusri Hashim berkata, operasi bermula jam 9.45 malam itu diketuai Timbalan Penolong Pengarah Tinggi Wan Fatonatunnor Abdul Rahim bersama 15 anggota penguat kuasa menyerbu premis yang menawarkan khidmat urutan.

Beliau berkata, dalam serbuan itu, enam warga asing diperiksa sebelum dua wanita, masing-masing dari Thailand dan China berusia 42 dan 44 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan imigresen.

“Selain itu, kami juga menahan seorang daripada empat lelaki tempatan berusia 36 tahun dipercayai penjaga premis, malah ketika pemeriksaan, wanita berkenaan dipercayai sedang menunggu pelanggan.

“Hasil siasatan awal mendapati kedua-dua wanita itu melakukan kesalahan dengan melanggar syarat pas diberikan mengikut Peraturan 39(b), Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.

Menurutnya, lelaki tempatan itu pula disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d), Akta Imigresen 1959/63 kerana memberi perlindungan kepada pendatang asing yang melakukan kesalahan.

“Dua wanita itu dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Belantik, Sik untuk siasatan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: January 22, 2016 @ 7:13am
d