mutakhir

Jatuh lubang elak ditangkap

Oleh Khairul Najib Asarullah Khan

Nilai: Cubaan seorang lelaki warga Indonesia melarikan diri daripada diperiksa anggota penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Sembilan (JIMNS) di sebuah ladang kelapa sawit di Kota Seriemas, di sini, membawa padah apabila dia terjatuh ke dalam lubang sedalam dua meter, semalam.

Akibatnya, lelaki berusia 50-an itu terseliuh pada kaki kirinya sebelum ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa di negara ini.

Pengarah JIMNS Hapzan Husaini berkata, dalam operasi jam 1.40 pagi, pihaknya menyerbu perkampungan warga Indonesia itu yang dibina beberapa rumah kongsi.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, lelaki 50-an terbabit nekad melarikan diri sejurus menyedari kehadiran pihak berkuasa.

“Suspek melarikan diri sekuat hati sambil memegang lampu suluh. Disebabkan itu anggota kami (imigresen) bertindak mengejarnya,” katanya.

Hapzan berkata, cubaan lelaki itu tidak berjaya apabila terjatuh dalam sebuah lubang yang terletak 15 meter dari perkampungan berkenaan.

“Selepas terjatuh, suspek memadamkan lampu suluh untuk menyembunyikan diri, namun dia ditemui semula dalam keadaan mencangkung dan mengerang kesakitan.

“Sehubungan itu, suspek ditahan kerana tinggal lebih masa,” katanya.

Menurutnya, dalam operasi bersepadu bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri dan pihak polis, pihaknya menahan 25 individu atas pelbagai kesalahan iaitu tidak memiliki dokumen dan tinggal lebih masa.

Katanya, dalam satu lagi serbuan di Taman Semarak, di sini, seramai 28 individu ditahan atas kesalahan sama.

“Bagi kedua-dua lokasi, seramai 225 individu diperiksa dan 53 daripadanya ditahan,” katanya memaklumkan mereka ditahan berusia antara lima hingga 55 tahun.

Menurutnya, semua terbabit dibawa ke Depoh Tahanan Lenggeng, dekat sini untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) (c) dan Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2016 @ 5:10am
d