mutakhir

RM50j biaya cuci darah

Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Sebanyak RM50 juta diperuntukkan setiap tahun bagi menampung kos rawatan 38,000 pesakit buah pinggang di negara ini terutama dalam menyediakan rawatan hemodialisis.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, kerajaan sentiasa berusaha untuk memerangi penyakit tidak berjangkit (NCD) iaitu diabetes dan obesiti apabila kedua-dua penyakit itu menyumbang kepada kegagalan buah pinggang.

Beliau berkata, setakat 2014, jumlah pesakit buah pinggang di negara ini yang menjalani rawatan hemodia lisis seramai 35,580 dengan 27,600 daripadanya menjalani rawatan hemodialisis dan selebihnya Peritoneal Dialisis (PD).

“Jumlah pesakit buah pinggang di negara ini sentiasa meningkat setiap tahun berbanding 563 individu persejuta penduduk pada 2004 kepada 1,182 pesakit persejuta penduduk pada 2014,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Mesin Dialisis Peritoneal Automatik, Lucenxia INTELLIS di sini, semalam.

Katanya, kerajaan turut menyediakan subsidi RM21.3 juta kepada badan bukan kerajaan (NGO) dan sektor swasta yang memberi khidmat rawatan dialisis kepada pesakit buah pinggang.

Dr Subramaniam berkata, hospital kerajaan tidak mampu menanggung semua jumlah pesakit buah pinggang yang semakin meningkat. Justeru kerjasama daripada NGO dan sektor swasta amat diperlukan.

Menurutnya, setakat ini, hospital kerajaan hanya mampu menampung perbelanjaan untuk kira-kira 8,000 pesakit saja dan bakinya ditampung NGO atau sektor swasta.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Buah Pinggang Negara Datuk Dr Zaki Morad Mohamed Zaher berkata, kira-kira 16,000 daripada 38,000 pesakit buah pinggang di negara ini memerlukan pemindahan buah pinggang.

Bagaimanapun, katanya, jumlah penderma yang tidak cukup iaitu hanya kira-kira 70 penderma setiap tahun menghalang mereka membuat pemindahan.

“Oleh itu, mereka terpaksa memilih rawatan hemodialisis atau PD walaupun transplan adalah rawatan paling berkesan untuk merawat penyakit itu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zaki berkata, Lucenxia INTELLIS adalah mesin dialisis peritoneal automatik yang direka khusus untuk pesakit buah pinggang kronik (CKD) bagi membolehkan mereka menjalani rawatan dialisis sendiri di rumah ketika tidur.

“Berbanding rawatan hemodialisis biasa, rawatan PD yang disediakan Lucenxia INTELLIS menggunakan membran peritoneal seseorang pesakit di bahagian abdomen dan sekali gus dapat mengeluarkan cecair berlebihan di dalam badan,” katanya.

Katanya, di Malaysia rawatan PD masih kurang dikenali dan jarang dipraktikkan berbanding hemodialisis.

Disiarkan pada: January 23, 2016 @ 5:12am
d