mutakhir

Nahas jalan turun 64%

Oleh Nur Lela Zulkipli

Kajang: Kadar kemalangan jalan raya membabitkan Lebuhraya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) arah Utara-Selatan berjaya dikurangkan sehingga 64 peratus selepas pelaksanaan Turapan Anti Gelincir sejak 2010.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Muhammad Fuad Khusairi berkata, teknologi berkenaan mula diperkenalkan di 10 laluan kritikal kemalangan seperti susur di Persimpangan Bertingkat di Rawang, Bangi dan Kajang.

“Kawasan lain turut dikenal pasti antara kawasan sering berlaku kemalangan di Bertam, Pulau Pinang; Ayer Hitam, Johor; Yong Peng, Johor dan beberapa kawasan lagi.

“Penggunaan bahan Turapan Anti Gelincir didapati dapat meningkatkan lagi kadar geseran di antara permukaan jalan dan tayar kenderaan.

“Kadar geseran tinggi memberi lebih cengkaman, sekali gus mengelakkan kenderaan tergelincir apabila mengambil selekoh di laluan susur di persimpangan bertingkat terutama ketika hujan,” katanya pada majlis taklimat PLUS berkenaan penggunaan Turapan Jalan Anti Gelincir di lebuh raya PLUS, di sini, semalam.

Katanya, sehingga kini, kos bagi penurapan jalan di 10 lebuh raya dikenal pasti menelan belanja RM5.5 juta dan teknologi dari Jerman itu terus berperanan membantu PLUS dalam usaha mengurangkan kadar kemalangan dalam tempoh masa panjang.

Turapan Anti Gelincir mengandungi sejenis lapisan khas dikenali sebagai ‘sealant coating’ untuk mengukuhkan lagi cengkaman antara agregat (batu baur) di atas permukaan jalan.

“Walaupun lapisan khas ini kelihatan berkilat seolah-olah terdapat tumpahan minyak dan licin, namun ia sebenarnya membantu menguatkan lagi kadar cengkaman antara jalan dan tayar,” katanya.

Teknologi Turapan Anti Gelincir itu turut digunakan dengan meluas di Jerman, Jepun, Korea, Australia, Switzerland dan beberapa negara maju lain.

Katanya, PLUS bercadang untuk meluaskan teknologi berkenaan ke jalan raya yang dikenal pasti sebagai kawasan panas kemalangan dengan kadar segera sebagai langkah pencegahan awal kemalangan.

“Jangka hayat setiap turapan adalah selama lima tahun dan PLUS akan menurap kembali kawasan berkenaan selepas tempoh itu sekiranya kualiti turapan semakin merosot.

“Bagaimanapun, ia bergantung kepada jumlah kenderaan yang melalui jalan yang diturap dan juga faktor cuaca yang menentukan jangka hayat turapan berkenaan,” katanya.

Fuad berkata, pengguna jalan raya masih perlu memperlahankan kenderaan ketika cuaca hujan kerana turapan berkenaan tidak berfungsi untuk menyerap air.

“Tayar kenderaan juga perlu berada dalam keadaan baik bagi mengelak kejadian tergelincir apabila melalui kawasan berair walaupun Turapan Anti Gelincir dijalankan.

“Teknologi ini juga lebih selamat apabila dapat memanjangkan hayat tayar kenderaan melaluinya berikutan partikel halus digunakan tidak merosakkan tayar,” katanya.

Disiarkan pada: January 23, 2016 @ 5:15am
d