mutakhir

Penduduk bimbang tanah runtuh

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

Bau: Kejadian tanah runtuh di Kampung Bunga Rampai di sini, awal bulan ini mencetuskan kebimbangan penduduk setempat kerana khuatir insiden sama berulang lagi.

Malah, setiap kali hujan, penduduk bimbang berlaku tanah runtuh kerana sudah berlaku beberapa kali dalam tempoh enam tahun.

Tanah runtuh dikatakan berpunca daripada projek pembinaan tidak teratur di kampung terbabit, sekali gus menyebabkan struktur tanah terjejas.

Pesara kerajaan, Ghapar Harun, 63, berkata, tanah runtuh yang berlaku baru-baru ini menyebabkan sebahagian dari kawasan belakang rumahnya ditimbus tanah setinggi dua meter.

Menurutnya, dalam tempoh dua tahun, sudah tiga kali insiden tanah runtuh berlaku.

“Walaupun sudah dimaklumkan kepada pihak berkuasa tetapi tiada sebarang tindakan diambil.

“Saya terpaksa membersihkan tanah itu sendiri, termasuk me­ngeluarkan kos membeli guni untuk memasukkan tanah.

“Pihak berkuasa hanya menyediakan kanvas menutup kawasan runtuhan bagi mengelakkan pergerakan terus berlaku. Setakat ini, lebih ratusan guni dipindahkan dari rumah kami untuk dibuang ke kawasan berhampiran menggunakan lori yang disewa sendiri,” katanya.

Penduduk, Wan Ali Wan Majini, 66, berkata, sebelum ini mereka tidak pernah berdepan masalah tanah runtuh walaupun perumahan itu di kawasan berbukit.

Katanya, sejak pembinaan parit berhampiran rumahnya pada 2008, kawasan bukit mula terhakis terutama ketika musim hujan.

“Setiap kali hujan, berlaku pergerakan tanah menyebabkan hakisan semakin dekat dengan rumah.

“Ketika ini, hanya jaring yang dipasangkan di kawasan sekitar rumah sebagai benteng bagi mengelakkan tanah runtuh.

“Kedudukan rumah yang terletak di atas bukit menyebabkan risiko tanah runtuh. Malah, sudah dua kali bilik di belakang rumah ranap dihempap tanah,” katanya.

Meskipun belum ada kemalangan jiwa berlaku, namun Wan Ali sering bimbang dengan keselamatan mereka ketika berada di rumah.

“Setiap hari saya dihantui dengan insiden tanah runtuh. Malah, saya merasakan tidak selamat ketika berada di rumah kerana bimbang kejadian lebih buruk berlaku, sekali gus menggugat keselamatan ahli keluarga saya.

“Saya minta pihak bertanggungjawab untuk tampil bagi membantu menyelesaikan masalah kami,” katanya.

Sementara itu, Midin Sera, 58, berkata, selain masalah tanah runtuh di kawasan bukit, penduduk Kampung Bunga Rampai turut berdepan risiko mendapan tanah, terutama membabitkan rumah penduduk yang terletak berhampiran sungai.

“Mendapan tanah yang berlaku menyebabkan berlaku keretakan di beberapa sudut rumah saya, termasuk bahagian bilik tidur dan bahagian belakang rumah.

“Bagi mengelakkan keretakan lebih serius, terutama membabitkan rumah berhampiran sungai, benteng sepatutnya dibina di sepanjang Sungai Sarawak Kiri untuk menangani masalah mendapan tanah.

“Memang benteng disediakan oleh pihak bertanggungjawab, namun ia tidak meliputi semua kawasan sekitar tebing sungai ini. Malah, benteng sedia ada yang dibina beberapa tahun lalu juga semakin mendap akibat arus sungai dan banjir saban tahun,” katanya.

Disiarkan pada: January 24, 2016 @ 5:02am
d