mutakhir

Selesai cara semangat kekeluargaan

Kluang: Kemelut politik yang melanda Kedah ketika ini diharap dapat diselesaikan dengan semangat kekeluargaan, bijaksana serta rasional demi kelangsungan parti dan rakyat.

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Hussien berkata, krisis kepemimpinan di Kedah itu bukan sesuatu perkara baru di peringkat negeri, malah parti juga sudah melalui pelbagai keadaan yang mencabar sebelum ini.

“Kita bukan nak berdepan pilihan raya esok, kalau kita tangani secara baik, saya percaya kesan kepada parti tidak teruk.

“Kita sudah lalui macam-macam, saya dahulu pun pernah menjadi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu.

“Saya tengok bahawa luahan dan pendirian kepemimpinan bahagian di Kedah banyak berkisar kepada pertimbangan mereka sendiri dan perkara itu juga sudah disampaikan kepada Presiden UMNO yang juga Perdana Menteri, semalam,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program Jiwa Murni pembesaran parit gajah Parlimen Sembrong, di Felda Kahang Timur, di sini, semalam.

Hadir sama, Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan.

Hishammuddin berkata, apa jua kemelut yang berlaku sudah tentunya boleh menjejaskan UMNO, namun beliau percaya ia tidak akan membawa kepada kesan yang teruk kepada parti dan rakyat sekiranya diselesaikan secara matang.

“Sehubungan itu, saya harap isu ini ditangani secara matang, bijaksana bersandarkan perkara yang ada kaitan rapat dengan hala tuju UMNO Kedah dan pentadbiran kerajaan Kedah itu sendiri,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin yang juga Menteri Pertahanan berkata Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan berusaha mempertingkatkan kawalan bagi menangani ancaman keganasan yang berlaku di negara ini termasuk melakukan rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Beliau menegaskan tugas menangani ancaman keganasan bukan perkara mudah, malah pihaknya sentiasa mengambil apa saja langkah proaktif dalam mempertingkatkan kawalan.

“Saya sudah nyatakan berkali-kali bahawa ancaman keganasan ini adalah sesuatu yang serius. Serangan di Jakarta (Indonesia) jadi iktibar kepada kita dan apa yang berlaku di negara luar mungkin berlaku di negara kita sekiranya kita tidak berjaga-jaga,” katanya.

Beliau berkata, langkah menambah rondaan di Batu Caves sempena Thaipusam turut dilakukan supaya kehadiran polis dan tentera memberi keyakinan kepada orang ramai.

Disiarkan pada: January 24, 2016 @ 5:09am
d