mutakhir

Sindiket Macau Scam tumpas

Kuala Lumpur: Sindiket ‘Macau Scam’ yang ditumpaskan polis, Jumaat lalu, dikesan menggunakan iklan kerja kosong bagi merekrut ahli baru sebelum dibawa ke negara ini.

Ketua Operasi Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (Siber dan Jenayah Multimedia) Bukit Aman Deputi Superintendan Hong Ken Hock berkata, dalang sindiket itu turut menanggung sepenuhnya kos tiket penerbangan dan penginapan bagi menarik perhatian mangsa.

Menurutnya, mangsa yang ditawarkan gaji $4,000 dollar Taiwan (RM511) itu kemudian dibawa ke sebuah banglo mewah di Taman Duta, Bukit Tunku, di sini, sebelum dilatih menjadi pakar penipuan menggunakan telefon.

“Sindiket itu yang beroperasi sejak tiga bulan lalu dikesan menggunakan talian telefon dan Internet di Malaysia untuk menghubungi mangsa di China,” katanya.

Sindiket itu ditumpaskan polis Bukit Aman hasil kerjasama polis China yang berpangkalan di Beijing pada jam 2 petang, Jumaat lalu.

Dalam serbuan itu, seramai 44 individu iaitu 22 warga China dan 22 warga Taiwan diberkas.

Suspek dikesan sudah menipu lebih 100 mangsa di China membabitkan kerugian lebih RM2 juta.

Disiarkan pada: January 25, 2016 @ 8:11am
d