mutakhir

Kereta berapi

Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Hanya dua bulan merasai nikmat tanpa dibebani pinjaman ansuran kereta, sepasang suami isteri tidak menyangka Proton Persona milik mereka dibeli lebih tujuh tahun lalu terbakar dalam kejadian di Taman Pandan Perdana, Pokok Mangga, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.50 pagi itu, Siti Norasikin Romeli, 33, berada di rumah bersama anak bongsu berusia 6 bulan manakala suaminya, Hamizi Satari, 34, sudah ke tempat kerja dan tiga lagi anak mereka dihantar ke rumah ibunya.

Hamizi berkata, kali terakhir kereta itu digunakan jam 10.30 malam tadi (kelmarin) ketika pulang dari rumah mentua dan dia tidak mengesan sebarang masalah pada enjin.

“Namun Jumaat lalu, enjin kereta tidak boleh dihidupkan ketika isteri memandu untuk mengambil anak- anak di sekolah. Selepas pemeriksaan di sebuah pusat servis, mekanik memaklumkan kereta kami mungkin ada masalah pada fius.

“Bagaimanapun, selepas kebakaran anggota bomba mengesyaki kebakaran berpunca dari bahagian belakang enjin, berdasarkan kesan berwarna perang yang ditemui iaitu tempat api bermula,” katanya yang berkerja sebagai juruteknik di sebuah kilang.

Menceritakan kejadian, Siti Norasikin berkata, dia terhidu bau hangit dan mendengar bunyi deruman enjin kereta yang kuat dari Proton Persona yang diparkir di garaj.

Katanya, sejurus menjengah ke luar rumah melalui tingkap dia mendapati asap tebal keluar daripada bahagian enjin Proton Persona itu.

“Saya segera mencapai anak dalam buaian, mengambil kunci kereta dan rumah sebelum keluar melalui pintu dapur kerana tahu pagar utama ketika itu dikunci menggunakan mangga.

“Jiran yang menyedari kebakaran kemudian membuka pintu pagar rumah dan cuba memadamkan api menggunakan saluran paip air dari rumah masing-masing,” katanya ketika ditemui, semalam.

Siti Norasikin berkata, selepas api pada enjin dipadamkan, beberapa jiran menolak Proton Persona itu keluar dari garaj berikutan khuatir bahagian itu kembali disambar api.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Melaka mengesahkan menerima panggilan berhubung kebakaran itu, namun api dipadamkan ketika anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Kubu tiba.

Disiarkan pada: January 25, 2016 @ 8:36am
d