mutakhir

Kendali sistem paling berisiko

Salak Selatan: Mengendalikan sistem terpenting dan paling berisiko dalam perkhidmatan pengangkutan rel bukan calang-calang tugas, malah turut memerlukan kefahaman dan kesedaran awam.

Pengurus Kanan Penyenggaraan Sistem Elektrifikasi KTMB Ir Mohamad Asri Yusoff berkata, jarang sekali berlaku kegagalan penjanaan elektrik pada kereta api yang dikatakan berpunca daripada kesilapan sistem dalaman sebaliknya ia kebiasaannya akibat gangguan faktor luar.

“Misalnya, kejadian kren kontraktor yang melakukan kerja membabitkan papan iklan berhampiran kawasan stesen kereta api Kuala Lumpur terjatuh atas talian elektrik tren KTMB tidak lama dulu.

“Ia menyebabkan kerosakan teruk dan tiga landasan di situ ditutup seminggu untuk kerja baik pulih. Kejadian sebegini antara cabaran Sistem Elektrifikasi KTMB dalam memulihkan segera bekalan,” katanya.

Menurut Mohamad Asri, tugas hakiki jabatan beliau adalah memastikan bekalan elektrik buat semua kereta api KTMB sentiasa dalam keadaan terbaik dan penyelenggaraan di stesen ‘feeder’ dilakukan secara berkala.

“Sistem elektrifikasi KTMB juga bertanggungjawab mengecilkan kuasa elektrik berjumlah 132 kilowatt yang dibekalkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk kegunaan rel KTMB,” katanya.

Kata Mohamad Asri, tenaga yang diperlukan kereta api KTMB cuma 25 kilowatt dan pihaknya menggunakan alatan khusus untuk mengecilkan saiz berkenaan.

Ditanya mengenai amalan keselamatan di radius stesen feeder, menurut Mohamad Asri, 2.75 meter diletakkan sebagai jarak selamat antara anggota dan sebarang peralatan berkuasa elektrik ketika melakukan tugasan ‘adhoc’ atau senggara berkala.

“Realitinya, kuasa elektrik yang kami uruskan cuma 25 kilowatt, saiz yang jauh lebih kecil jika dibandingkan kuasa elektrik untuk televisyen di rumah yang mencecah 240 kilowatt.

“Bagaimanapun, itu bukan bermaksud kerja ini mudah. Mengendalikan stesen feeder yang membekalkan elektrik buat kereta api KTMB di seluruh Lembah Klang adalah tanggungjawab berat kerana ini rel paling sibuk bagi KTMB.

“Disebabkan itu, apa yang kami terapkan adalah waspada dan mengikut tatacara kerja ditetapkan. Kekuatan kami di Lembah Klang saja membabitkan 53 pegawai dan kakitangan,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2016 @ 8:27am
d