mutakhir

12 pasukan sertai Piala Monsun Malaysia

Iskandar Puteri: Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar berkenan merasmikan Piala Monsun Malaysia 2015/2016 yang berlangsung di Puteri Harbour, di sini, semalam.

Berangkat sama, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim diiringi Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kejohanan yang disertai 12 pasukan dari seluruh dunia itu akan menjadi medan perebutan wang tunai keseluruhan mencecah kira-kira RM1.5 juta.

Pentas kejohanan itu juga menjadi medan bagi pelayar merebut gelaran juara dunia ‘The World Match Racing Tour’ musim ini.

Berdasarkan rekod, kedudukan terkini menampilkan Ian Williams (GAC Pindar/Britain/ 90 mata), Bjorn Hansen (Nautiska Racing/Sweeden/88 mata), Taylor Canfield (US One/US Virgin Islands/85 mata), Keith Swinton (Black Swan Racing/ Australia/75 mata).

Namun, kedudukan itu boleh dicabar pasukan lain untuk melayakkan mereka mencipta kejutan termasuk menangani kelajuan angin yang mencecah 21 knot di venue baru itu.

Juara Piala Monsun musim ini juga akan menerima Piala Tunku Laksamana Johor yang mula diperkenalkan melalui penganjuran kejohanan musim lalu di Danga Bay.

Sementara itu, pelayar negara, Hazwan Hazim Dermawan berkata, pihaknya tidak meletakkan sasaran tinggi dalam kejohanan itu kerana mereka bakal bersaing dengan jaguh pelayar dunia.

“Harapan kami musim ini adalah untuk menamatkan kemarau pasukan tempatan tanpa mendapat sebarang mata sepanjang menyertai kejohanan ini.

“Penyertaan dalam kejohanan musim ini juga akan digunakan sebaiknya untuk menimba pengalaman,” katanya yang ditemui di sini, semalam.

Edisi kali ini juga menyaksikan penyertaan tiga pasukan baru Aschenbrenner Racing dan TREFOR Match Racing dari Denmark serta Corbett Racing (New Zealand).

Disiarkan pada: January 26, 2016 @ 8:45am
d