mutakhir

Pertukaran MB senario biasa politik

Alor Setar: Pertukaran Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah disifatkan perkara biasa dalam senario politik di negeri itu apabila gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik dalam pentadbiran negeri mahupun parti.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, kemelut politik yang berlaku bukan isu besar, sekali gus beliau yakin dengan kebijaksanaan dan kewibawaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk menyelesaikannya secara baik.

Menurutnya, beliau sendiri turut melalui beberapa pertukaran Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri dan ia bukan masalah, tetapi usaha membaiki keadaan.

“Di Kedah (pertukaran Menteri Besar) ini bukan kali pertama, (bermula dari) Tan Sri Osman Aroff, (kepada) (Tan Sri) Sanusi Junid kepada (Datuk Seri) Syed Razak (Syed Zain), kepada (Datuk Seri) Mahdzir Khalid kepada (Allahyarham Datuk Seri) Azizan Abdul Razak).

“Ketika itu, saya sebagai wakil rakyat dan Exco kerajaan negeri di mana sudah melaluinya, makna kata biasa dari segi perubahan pucuk pimpinan negeri...berapa kali berubah, tiada masalah, cuma kita nak bendung supaya keadaan tidak semakin teruk dan saya yakin dengan kebijaksanaan Perdana Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan sambutan ulang tahun kelima Intercity Coach milik syarikat Bakawan Sdn Bhd di Terminal Bas Shahab Perdana di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan diambil 14 Ketua UMNO Bahagian negeri dibuat atas dasar berkumpulan dan tanggungjawab terhadap parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Disiarkan pada: January 26, 2016 @ 9:11am
d