mutakhir

Suspek rakyat kita

Oleh Hairulazim Mahmud dan Kalidevi Mogan Kumarappa

Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengenal pasti identiti kedua-dua individu di dalam video kontroversi ‘Mesej Awam Kepada Malaysia’ yang boleh mengancam keselamatan negara.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, mereka adalah rakyat Malaysia yang berada di Syria selepas berlepas ke negara itu, tahun lalu.

“Abdul Halid berasal dari Kedah manakala Mohd Nizam berasal dari Perak.

“Ini kali pertama mereka membuat rakaman video dalam bahasa Melayu dengan berlatarbelakangkan logo IS,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Persidangan Antarabangsa Deradikalisasi dan Menangani Ekstremisme 2016 (IDC 2016) di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai penyebaran rakaman video yang disiarkan dalam bahasa Melayu, unit militan IS Malaysia-Indonesia yang dipanggil Katibah Nusantara mengancam untuk membalas dendam berikutan penangkapan ahlinya.

Video berdurasi lebih seminit itu bertajuk ‘Mesej Awam Kepada Malaysia’ memberi amaran: “Jika anda tangkap kami, kami akan terus meningkatkan bilangan anggota, tapi jika anda biarkan kami, kita akan lebih dekat dengan matlamat untuk membawa kembali kedaulatan khalifah.”

Wakil militan IS menghantar mesej amaran kepada Malaysia khususnya PDRM susulan usaha memerangi kumpulan itu yang giat diadakan di negara ini.

Video itu menunjukkan ahli Katibah, Abdul Halid menggesa mereka untuk mengikrarkan kesetiaan kepada pemimpin IS, Abu Bakr Al-Baghdadi dan menyertai perjuangan ‘sebenar’ di Syria sambil diperhatikan seorang lagi rakan militan, Mohd Nizam Arifin.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, pihaknya tidak gentar dengan ugutan daripada mana-mana pihak, sebaliknya akan meneruskan langkah proaktif dalam menangani ancaman keganasan ekstrem.

Menurutnya, meskipun pihaknya tidak takut dengan ugutan yang diterima melalui video dirakam kumpulan militan Negara Islam (IS), ia tidak boleh dipandang ringan.

Katanya, pihaknya tidak boleh berdiam diri dan akan mengambil langkah lebih proaktif untuk menangani ancaman itu.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa bersiap sedia dalam menangani apa juga masalah mengenai isu kumpulan militan IS dan fahaman radikal.

“PDRM tidak akan gentar atau mengambil langkah ke belakang meskipun menerima ugutan daripada mana-mana pihak termasuk IS.

“Sebaliknya, tindakan susulan akan diambil bagi mengekang penyebaran dakyah yang salah,” katanya.

Disiarkan pada: January 26, 2016 @ 9:14am
d