mutakhir

Usah sampai waris teraniaya

Oleh Nor ‘Asyikin Mat Hayin

Kuala Lumpur: Sifat amanah perlu ada dalam diri individu yang mempunyai simpanan di institusi kewangan kerana ia menyedarkan mereka tanggungjawab menyalurkan wang itu kepada waris berhak dengan lebih cepat.

Presiden Persatuan Pengurusan Kewangan dan Harta Islam Malaysia Rohani Mohd Shahir berkata, ia bertujuan melindungi dan mengelakkan waris daripada menjalani kehidupan dalam keadaan teraniaya serta meminta-minta selepas pemilik akaun meninggal dunia.

“Apabila ada sifat ini, mereka akan membuat penamaan sejurus membuka akaun simpanan tanpa menangguhnya.

“Mereka juga tidak mahu waris berhadapan kesulitan kerana terpaksa melalui prosedur remeh dalam proses membuat tuntutan wang,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Beliau mengulas muka depan akhbar ini pada 19 Januari lalu yang melaporkan 5.6 juta pendeposit Tabung Haji membabitkan wang simpanan RM27 bilion tidak membuat penamaan.

Ia susulan pendedahan dibuat Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Hamim Samuri mengenai anggaran RM60 bilion harta tidak dituntut membabitkan agensi berkenaan, baru-baru ini.

Rohani berkata, wang itu sebenarnya boleh digunakan waris untuk meneruskan kehidupan lebih selesa selepas pemilik akaun meninggal dunia.

Katanya, tindakan tidak membuat penamaan disebabkan ketiadaan ilmu perancangan kewangan dan kelemahan itu dibuktikan berdasarkan statistik dikeluarkan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).

Menurutnya, beliau turut mencadangkan Tabung Haji (TH) membuat kempen secara besar-besaran bagi menyedarkan pendeposit tentang kepentingan membuat penamaan.

Disiarkan pada: January 26, 2016 @ 9:31am
d