mutakhir

Teruskan misi didik kelebihan tutup aurat

Putrajaya: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM), Radio SalamFM dan Malaysian’s On Covering Aurah (MOCA) meneruskan edisi kedua ‘Kempen Cantik Di Mata 2016’ pada 14 Februari ini dengan misi sama iaitu mendidik masyarakat Islam mengenai kelebihan menutup aurat dengan sempurna dan larangan menyambut Hari Valentine.

Kempen yang berlangsung serentak di 14 lokasi di seluruh negara itu akan dilancarkan pada malam 13 Februari di pekarangan Masjid Negara, Kuala Lumpur membabitkan aktiviti dakwah jalanan menerusi pengagihan risalah, stoking tangan dan tudung secara percuma.

Presiden IAM Zawahir Abdullah berkata, pada edisi penganjuran tahun lalu, pihaknya berjaya menarik lebih satu juta orang muda yang terdiri daripada golongan profesional sehingga pelajar menyertai kempen melalui pelbagai medium terutama menerusi laman sosial Facebook.

“Tahun ini kami sasarkan dua juta penyertaan berikutan penambahan ikon iaitu Yatt Hamzah dan Adam Corrie selain Mizz Nina dan Noh Salleh yang terpilih menjadi ikon kempen, tahun lalu.

“Penyertaan golongan muda terutama peminat ikon berkenaan sebenarnya banyak membantu pihak jabatan agama Islam dalam menguar-uarkan mengenai kesalahan menyambut hari kekasih,” katanya pada sidang media selepas pelancaran kempen berkenaan di sini, semalam.

Perasmian kempen disempurnakan Pengarah Bahagian Dakwah JAKIM, Datuk Ali Mohammed,

Katanya, bagi merancakkan kempen, orang ramai boleh menyertai pertandingan gambar ‘selfie’ dan ‘wefie’ dalam keadaan menutup aurat berserta mesej tidak lebih 30 patah perkataan yang boleh disertai menerusi #iam4humanity.

Disiarkan pada: January 27, 2016 @ 9:30am
d