mutakhir

Hak Bumiputera tetap dilindungi

Kuala Lumpur: Agenda Bumiputera tidak akan dikorbankan jika Malaysia menganggotai Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, walaupun Malaysia mengamalkan sistem pasaran terbuka tetapi negara akur kepada Perlembagaan Persekutuan, agama Islam sebagai agama rasmi dan budaya tempatan.

Katanya, dasar keterbukaan diamalkan bertepatan dengan Perlembagaan Persekutuan melindungi hak Bumiputera, merapatkan jurang antara yang kaya dan miskin serta jurang antara negeri maju dan mundur.

“Malaysia akan terus memastikan sebarang pindaan ke atas undang-undang tidak menjejaskan dasar utama negara termasuk agenda Bumiputera dan Malaysia memasuki TPPA di atas termanya sendiri.

“Sejak awal lagi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegaskan kepada Presiden Barrack Obama dan pemimpin dunia lain bahawa Malaysia tidak akan mengorbankan dasar Bumiputera semata-mata mahu memastikan tempatnya di dalam TPPA,” katanya ketika membentangkan usul TPPA di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Buat pertama kalinya dalam perjanjian perdagangan antarabangsa, kedudukan Bumiputera diiktiraf.

“Ini adalah kemenangan bagi Malaysia dan sebabnya kita buat keputusan untuk menyertai TPPA.

“Secara ringkasnya, di bawah TPPA Malaysia berjaya mempertahankan dasar pelaksanaan Bumiputera di bawah Bab Perolehan, syarikat milik kerajaan negeri (SOE), Pelaburan dan Perkhidmatan,” katanya.

Mustapa berkata, pengecualian itu termasuk memperuntukkan 30 peratus untuk kontraktor Bumiputera dalam sektor pembinaan, memberi keutamaan kepada Bumiputera dan juga entiti dari Sabah dan Sarawak sehingga 40 peratus peruntukan pembelian tahunan SOE.

Di samping itu, pembekal dan pengeluar Bumiputera akan terus menikmati keutamaan harga bagi barangan dan perkhidmatan bagi perolehan kerajaan.

Sementara itu, Datuk Irmohizam Ibrahim (BN-Kuala Selangor) ketika membahaskan usul TPPA menyokong perjanjian perdagangan itu.

“TPPA dapat memberi peluang baharu kepada vendor di bawah program Pembangunan Vendor Bumiputera (BVDP) sebagai inisiatif program transformasi syarikat milik kerajaan yang menyediakan peluang perniagaan khusus kepada syarikat Bumiputera,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2016 @ 9:32am
d