mutakhir

Bina segera pemecah ombak!

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Kuala Nerus: Tindakan segera termasuk membina lapis dinding atau benteng pemecah ombak perlu dijalankan di kawasan hakisan bagi memastikan fenomena ombak besar dan angin kencang yang berlaku tidak berterusan memusnahkan harta benda penduduk di pesisir pantai.

Naib Canselor Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof Datuk Dr Nor Aieni Mokhtar berkata, tindakan pantas pihak yang bertanggungjawab membina benteng pemecah ombak di kawasan pantai Tanjung Gelam dan Pantai Kampung Tengah menyelamatkan harta benda orang ramai di kawasan itu.

“Sebaiknya kawasan yang mempunyai penempatan dan aset penduduk diutamakan berbanding kawasan lain bagi membina benteng pemecah ombak itu.

“Kami bimbang jika ia tidak ditangani segera pada peringkat awal ia bertambah teruk pada masa akan datang,” katanya ketika ditemui selepas melawat sebuah rumah yang musnah akibat dibadai ombak di Kampung Tanjung Gelam, Mengabang Telipot, di sini, semalam.

Aieni berkata, pihaknya menubuhkan Jawatankuasa Bertindak Hakisan dan Banjir bagi mengkaji dan mencari penyelesaian terbaik untuk menangani masalah berkenaan.

“Agak membimbangkan apabila kawasan lain di UMT sendiri terjejas disebabkan fenomena seperti ini dan ia sememangnya di luar jangkaan.

“Kami memberi tumpuan dan membuat persediaan awal di kawasan UMT yang terjejas pada tahun lalu tetapi malangnya pada tahun ini kawasan lain termasuk sekitar kolej pula dinaiki air dan terjejas disebabkan fenomena ini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya bersama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri turut bekerjasama dalam menangani masalah itu.

“UMT akan menjalankan kajian menyeluruh dan fenomena itu memberi peluang kepada pelajar untuk membuat kajian serta mempelajari berkaitan kejuruteraan pantai bagi mencari cara mengatasinya,” katanya.

Disiarkan pada: January 27, 2016 @ 9:41am
d