mutakhir

'Datin balak' bawa bala

Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Akibat terlalu percayakan janji manis seorang bomoh wanita bergelar Datin, dua beradik kerugian RM40,000 selepas diperdaya dengan tawaran menjadi rakan kongsi dalam perniagaan kayu balak.

Lebih menyedihkan apabila kedua-dua beradik itu menggunakan wang simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas termakan pujukan bomoh berkenaan yang mendakwa mahu membantu mereka.

Menceritakan kejadian itu, wanita berusia 56 tahun dikenali sebagai Zainab berkata, dia mengenali bomoh berkenaan selepas diperkenalkan rakan baiknya kerana mahu mendapatkan rawatan untuk penyakit kakaknya.

Menurutnya, kakaknya yang berusia 58 tahun mengalami penyakit misteri selain turut diserang strok sebelum rakannya memperkenalkan mereka dengan seorang wanita untuk berubat.

“Rakan membawa saya dan kakak ke rumah bomoh terbabit di Sungai Petani, Kedah untuk mendapatkan rawatan pada Ogos tahun lalu,” katanya.

Katanya, bomoh itu memberitahu dia kasihan selepas melihat mereka yang tidak mempunyai pekerjaan lalu menawarkan untuk berkongsi perniagaan dalam pelaburan dinamakan, Saham Kayu Balak.

“Memang kehidupan saya dan kakak susah selepas bersara sebagai pekerja kilang ditambah dengan keadaan kakak yang menghidap penyakit selain baru kematian suami ketika itu.

“Suami saya pula tidak dapat bekerja kerana mengalami masalah kesihatan dan selepas berbincang dengan ahli keluarga, saya dan kakak akhirnya bersetuju untuk melabur wang dengan menjadi rakan kongsi bomoh terbabit,” katanya.

Zainab berkata, selain dia dan kakaknya, rakan yang memperkenalkan mereka kepada bomoh itu turut membuat pelaburan sebanyak RM40,000 kerana yakin dengan wanita terbabit.

Disiarkan pada: January 28, 2016 @ 8:28am
d