mutakhir

Heret ibu beli dadah

Oleh Mohd Shukor Amin

Sabak Bernam: Bagi mengaburi pihak berkuasa, seorang penagih dadah tergamak membawa ibunya ke ‘port’ penagihan dadah semata-mata mahu membeli bahan larangan terbabit di Jalan 1, Bagan, Sungai Besar di sini, semalam.

Namun cubaan lelaki berusia 28 tahun itu membeli dadah jenis heroin tidak kesampaian apabila ditahan pada operasi bersepadu dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Anak durjana yang menetap di Kampung Tebok Marso, Sungai Besar itu dikatakan membawa ibunya berusia 59 tahun ke pekan Sungai Besar tetapi melencong ke tempat lain untuk membeli heroin.

Pada masa sama, lelaki yang memandu kereta Proton Saga itu masih dalam tempoh pengawasan selama dua tahun.

Penahanannya menyebabkan ibunya tidak boleh memandu kenderaan terpaksa berjalan kaki pulang ke rumah.

Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Nor Azmi Isa berkata, 40 penagih ditahan pada operasi berkenaan.

“Operasi diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Sabak Bernam Asisten Superintendan Ramly Raaf bersama 20 anggota dan 30 anggota juga pegawai AADK.

“Operasi bermula jam 8 pagi dan berakhir sembilan jam kemudian. Kami turut menahan lelaki dari Bagan Nakhoda Omar yang membawa isteri serta anak perempuannya berusia tiga tahun ke lokasi panas terbabit,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2016 @ 7:03am
d