mutakhir

Nasib Lembut terbela

Tasek Gelugor: “Walaupun hidup kami kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, saya tidak sanggup membiarkan dua cucu saya ini dipelihara orang lain,” kata ibu tunggal, Lembut Mat, 54.

Di sebalik hidup dalam keadaan serba kekurangan, Lembut memikul tanggungjawab menjaga dua cucunya berusia dua tahun dan empat tahun selepas ibu kanak-kanak berkenaan yang juga anak bongsu Lembut menghilangkan diri sejak bercerai dengan suami, Oktober tahun lalu.

Lembut berkata, dia menerima bantuan bulanan daripada Zakat Pulau Pinang (ZPP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selain mengambil upah mengupas buah di rumah dengan upah 50 sen sekilogram bagi menambah pendapatan.

Menurutnya, dia tidak bekerja selepas berpisah dengan suami hampir 20 tahun lalu dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua anak berusia 32 tahun serta 34 tahun.

“Anak sulung sudah berkeluarga dan saya tidak mahu menyusahkannya manakala anak bongsu menghilangkan diri hingga kini.

“Sebagai nenek, saya kasihan dengan nasib mereka dan mahu menjaga kedua-duanya. Saya juga berharap anak bongsu kembali ke pangkuan keluarga serta bersama-sama membesarkan dua anaknya yang masih kecil serta memerlukan kasih sayang ibu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Rakyat Taman Paya Tok Akil di sini, kelmarin.

Lembut berkata, ada kalanya mereka terpaksa mengikat perut kerana dia kekurangan wang untuk membeli makanan.

“Namun, saya tidak pernah terdetik menyerahkan dua cucu kepada orang lain kerana tidak sanggup berpisah dengan mereka,” katanya.

Nasib Lembut dan dua cucunya mendapat perhatian pasar raya Econsave yang menyumbang keperluan harian berjumlah RM1,000.

Sumbangan disampaikan Pengurus Operasi Econsave Bukit Mertajam Zamzuri Mansor sempena program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pasar raya itu.

Zamzuri berkata, bantuan berkenaan berupa barangan makanan, keperluan dapur serta peralatan elektrik.

Disiarkan pada: January 29, 2016 @ 8:00am
d