mutakhir

Tak sengaja 'bakar' lori

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Bagan Serai: Sebuah lori membawa muatan buah kelapa sawit hampir musnah terbakar selepas pemandunya tanpa sedar memarkir kenderaan berat itu di atas unggun api yang kembali marak dalam kejadian di Jalan Siakap, berhampiran Matang Gerdu di sini, jam 10.56 malam kelmarin.

Terdahulu, pemilik lori berkenaan membakar daun kering di kawasan lapang berhampiran kediamannya, di situ sebelum api terpadam akibat hujan.

Bagaimanapun, tidak lama kemudian, hujan berhenti manakala bara unggun mula marak kembali.

Selepas diarahkan majikannya, pemandu lori terbabit memarkirnya di atas unggun berkenaan tanpa menyedari bara api tidak terpadam sepenuhnya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Serai Penolong Kanan Penguasa Bomba Azmir Hassan berkata, pihaknya penerima panggilan kebakaran daripada pemilik lori yang berusia 48 tahun, jam 10.59 malam sebelum mengerah anggota serta jentera ke lokasi kejadian yang terletak lima kilometer dari balai berkenaan.

“Berdasarkan maklumat diberi pemilik lori, pekerjanya tidak sedar tentang unggun api itu. Sejurus memarkir kenderaan berat terbabit, pekerjanya pulang sebelum api mula menyala di bawah lori.

“Akhirnya, api mula merebak dan ia menyebabkan tayar belakang sebelah kanan lori hangus manakala kanvas penutup muatan kelapa sawit itu musnah keseluruhannya,” katanya.

Menurut Azmir, tindakan pantas pemilik lori membolehkan api dipadamkan sepenuhnya. Kebakaran hanya menyebabkan 20 peratus lori rosak.

Disiarkan pada: January 29, 2016 @ 9:24am
d