mutakhir

'Kami tak mahu tinggal rumah'

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Penduduk yang menetap di kawasan pesisir pantai di Kampung Pulau Kundur, Pantai Cahaya Bulan, di sini, enggan meninggalkan kediaman mereka dan berpindah ke kawasan lain.

Sebaliknya, mereka meminta supaya benteng penahan ombak dibina segera bagi membolehkan mereka tinggal dengan selamat di kawasan berkenaan.

Mohd Riduyan Kasim, 35, berkata, dia bersama isterinya, Sudida Salmi Mat Zin, 32, dan empat anak mereka serta keluarga mentua berharap untuk terus mendiami rumah di kawasan itu kerana sebati dengan kehidupan mereka.

“Jika pembinaan benteng penahan ombak disegerakan, saya akan tetap tinggal di sini, lagipun saya tidak mempunyai rumah lain untuk berteduh.

“Sebelum ini air pasang besar yang berlaku tidak menyebabkan air dan pasir masuk ke dalam rumah, namun kejadian Ahad lalu serius hingga banyak barang rumah yang rosak serta atap zink juga tercabut,” katanya yang pulang ke rumah, semalam selepas tiga hari menetap di pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Kundur.

Jiran sekampungnya, Alias Ibrahim, 51 berkata, dia sekeluarga terpaksa menetap sementara di rumah ibu saudaranya, Rahmah Hassan, 42, yang terletak beberapa kilometer dari rumahnya yang rosak teruk akibat fenomena itu.

Disiarkan pada: January 29, 2016 @ 9:27am
d