mutakhir

Ramai tak lapor

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Shah Alam: Polis percaya suspek yang ditahan kerana menyamar sebagai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bergerak sebagai satu sindiket.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Shafien Mamat berkata, suspek kini ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan.

Beliau berkata, polis percaya masih ramai peniaga menjadi mangsa kumpulan berkenaan, namun belum membuat laporan polis.

“Suspek dipercayai bergerak sebagai satu sindiket dan polis percaya mereka juga terbabit dalam kegiatan memeras ugut peniaga di daerah lain.

“Oleh itu, siasatan juga akan diperluaskan dengan bantuan polis dari daerah lain untuk mengenal pasti peniaga yang pernah menjadi mangsa,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, semalam.

Turut hadir, Pengarah Bahagian Penguat Kuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin.

Sementara itu, Mohd Roslan berkata, KPDNKK mengingatkan orang ramai, khususnya peniaga supaya lebih peka jika didatangi individu yang mengaku sebagai penguat kuasa kementerian itu.

Katanya, peniaga berhak untuk melihat kad dan lencana penguat kuasa pegawai yang membuat serbuan untuk memastikan kesahihan identiti.

“Kami berterima kasih kepada polis yang berjaya menumpaskan sindiket ini, sekali gus membantu memulihkan imej KPDNKK yang selama ini disalah guna suspek.

“Peniaga tidak perlu gusar jika didatangi individu yang mengaku sebagai penguat kuasa KPDNKK kerana mereka boleh mendapatkan kepastian dengan menghubungi hotline KPDNKK di talian 1-800-886-800,” katanya.

Harian Metro semalam melaporkan empat lelaki yang memperdaya mangsa dengan mendakwa mereka kononnya pegawai KPDNKK ditahan polis di Seksyen U2, di sini, pada 22 Januari lalu.

Suspek ditahan selepas enam bulan memeras ugut beberapa peniaga runcit membabitkan kerugian ribuan ringgit dengan menayangkan pas pegawai agensi berkenaan sebelum memeras ugut peniaga kedai runcit di sekitar negeri ini dengan mendakwa mangsa menjalankan perniagaan menyalahi undang-undang.

Disiarkan pada: January 29, 2016 @ 9:32am
d