mutakhir

Mampu raih RM22.1 bilion

Alor Gajah: Sektor pelancongan negara mampu meraih pendapatan sebanyak RM22.1 bilion jika rancangan menarik lebih ramai pelancong dari China dilakukan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, setakat ini sektor pelancongan tempatan menarik seramai 1.8 juta pelancong China dan dalam perancangan untuk meningkat kunjungan pelancong dari negara tembok besar itu kepada lapan juta orang dalam tempoh lima tahun.

“Kita tahu perancangan untuk menarik kunjungan sehingga lapan juta pelancong dari negara tembok besar itu adalah satu sasaran yang amat besar, namun ia mampu dicapai.

“Malah, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperkenalkan e-visa bagi memudah kemasukan pelancong ke negara ini terutamanya dari China,” katanya ketika berucap merasmikan pembukaan Freeport A’Famosa Outlet, (FAO), di sini, semalam.

Hadir sama pada majlis itu, Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Beliau juga menggesa Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menerusi Tourism Malaysia memanfaatkan sepenuhnya pengaruh dan bakat negara ini yang aktif di luar negara dengan melantik mereka menjadi duta pelancongan.

“Ramai rakyat kita yang mempunyai pengaruh di negara asing dan contohnya Shila Amzah terkenal di China, mereka boleh menjadi duta untuk memperkenalkan produk pelancongan dalam negara kepada peminat di negara itu,” katanya.

Disiarkan pada: January 29, 2016 @ 9:54am
d