mutakhir

Air mata polis

Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Hanya linangan air mata membasahi pipi seorang pegawai polis wanita sejurus dijatuhkan hukuman penjara tiga tahun oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam selepas didapati bersalah kerana melepaskan seorang tahanan lelaki ‘kasanova’ pada 2013.

Asisten Superintendan L Chandkumary, 58, dilihat memeluk seorang wanita dipercayai ahli keluarganya sambil berkata sesuatu dalam bahasa Tamil dan kelihatan sebak dengan sesekali mengesat air mata di pipinya.

Terdahulu, Majistret Dianne Ningrad Nor Azhar menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah dalam kes berkenaan.

Dianne Ningrad dalam penghakimannya berkata, hukuman dijatuhkan selepas mahkamah mempertimbangkan kesalahan jenayah dilakukan tertuduh sebagai seorang kakitangan kerajaan.

Beliau berkata, kesalahan dilakukan tertuduh adalah jenayah serius dan mencemari institusi kepolisan dan hukuman diberikan itu diharap menjadi pengajaran kepada semua anggota polis dan masyarakat.

Tertuduh yang berkhidmat selama 32 tahun sebagai anggota polis menghadapi dua tuduhan iaitu sengaja melepaskan seorang tahanan, K Prabaharan di bilik tahanan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang di sini, kira-kira jam 1.50 tengah hari, 9 Oktober 2013.

Dia turut didakwa membuat laporan palsu berhubung kejadian itu pada jam 8.05 malam hari sama di Balai Polis Jalan Patani di sini, dengan mendakwa Prabaharan hilang secara tiba-tiba.

Bagi tuduhan pertama, Chandkumary dihukum penjara tiga tahun mengikut Seksyen 225A(1)(a) Kanun Keseksaan manakala bagi tuduhan kedua, tertuduh dihukum penjara enam bulan mengikut Seksyen 182 kanun sama dan kedua-dua hukuman berjalan serentak bermula tarikh jatuh hukum.

Disiarkan pada: January 30, 2016 @ 5:11am
d