mutakhir

Ratu Cantik diusung!

Oleh Hafidzul Hilmi Mihd Noor

Kuala Lumpur: Seorang pelacur warga Thailand yang baru dinobatkan sebagai Ratu Cantik di kelab malam mewah di Metro Pudu2 di sini, terpaksa diusung dengan kerusi roda akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri.

Dalam kejadian jam 1 pagi semalam, wanita berusia 23 itu yang bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) dikatakan terjatuh dari tingkat atas bangunan sebaik menyedari kehadiran polis.

Difahamkan wanita itu baru memenangi pertandingan ratu cantik disertai 48 GRO lain sebelum dihadiahkan mahkota dan selendang khas.

Ketua Operasi STAGG Deputi Superintendan Mohd Shukri Abdullah berkata, serbuan dilakukan anggota Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman berdasarkan intipan dilakukan.

Menurutnya, seramai 48 GRO diberkas dan siasatan mendapati semua mereka menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan kelab malam itu.

Beliau berkata, pelanggan boleh membawa pulang wanita terbabit selepas berhibur di pusat hiburan itu dengan bayaran RM80 hingga RM150.

“Pelanggan juga boleh menghadiahkan kalungan selendang kepada GRO disukai dengan bayaran RM50 hingga RM10,000.

“Semua wanita yang ditahan berusia 23 hingga 41 tahun berasal dari Thailand,” katanya.

Mohd Shukri berkata, 118 pelanggan diperiksa dalam operasi berkenaan namun dibebaskan selepas mendapati tidak melakukan kesalahan dan tidak mempunyai rekod jenayah.

“Polis juga menahan 11 pekerja pusat hiburan berkenaan untuk disoal siasat dan merampas lapan minuman keras kerana premis itu gagal mengemukakan lesen perniagaan minuman keras yang sah.

“Sementara itu salah seorang GRO cedera di paha akibat terjatuh ketika cuba melarikan diri,” katanya.

Dia berkata, wanita itu terpaksa dibawa ke balai polis Wangsa Maju menggunakan kerusi beroda.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 6(1) C Akta Imigresen,” katanya.

Disiarkan pada: January 30, 2016 @ 5:12am
d