mutakhir

195,170 syarikat gagal perbaharui sijil pendaftaran

Kuala Lumpur: Sebanyak 195,170 syarikat dan premis perniagaan didapati gagal memperbaharui sijil perakuan pendaftaran perniagaan sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) Datuk Zahrah Abd Wahab Fenner berkata, perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan terhadap 1.05 juta (1,047,936) syarikat dan premis perniagaan di seluruh negara, sepanjang 2015.

“Selain gagal memperbaharui pendaftaran perniagaan, ada juga syarikat dikesan melanggar sembilan jenis kesalahan, antaranya tidak mempamerkan Sijil Perakuan Perniagaan, tidak mempamerkan nama perniagaan dan nombor pendaftaran serta tidak mencetak nama dan nombor pendaftaran syarikat di atas resit,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyertai operasi pemeriksaan 100 premis di sebuah pusat beli-belah di sini, kelmarin.

Katanya, sebanyak 211 pemeriksaan dijalankan ke atas syarikat dan premis perniagaan membabitkan warga asing di seluruh negara sepanjang bulan ini.

“Daripada jumlah itu, 87 kesalahan dikenal pasti mengikut Akta Pendaftaran Perniagaan 1956 dan Akta Syarikat 1965,” katanya.

Menurut Zahrah, pihaknya akan bekerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, Jabatan Imigresen, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pendaftaran Negara bagi menjalankan operasi lebih kerap pada masa depan.

“Kita akan meneruskan operasi seperti biasa, setiap hari dengan mengunjungi premis perniagaan dan syarikat bagi memastikan mereka mematuhi piawaian yang ditetapkan,” katanya.

Mengenai perniagaan dalam talian, Zahrah menggesa mana-mana pihak yang ingin menjalankan perniagaan seumpama itu supaya mendaftar dengan SSM walaupun berskala kecil kerana kegagalan berbuat demikian akan menyebabkan mereka dikenakan tindakan di bawah Akta Syarikat 1965.

“Kita bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia bagi memantau perniagaan dalam talian.

“Sebagai panduan, SSM ada menganjurkan Karnival Usahawan Atas Talian SSM sebagai platform untuk menggalakkan peniaga mendaftar,” katanya.

Mereka yang ingin membuat permohonan pendaftaran perniagaan dalam talian, boleh melayari laman web www.ssm.com.my untuk maklumat lanjut.

Disiarkan pada: January 30, 2016 @ 5:15am
d