mutakhir

Sesak setiap hari

Oleh Na’imah Mohamed

Shah Alam: Sesak dan semak. Situasi itu menggambarkan keadaan Bulatan Jubli Perak di Seksyen 24 dekat sini, pada setiap hari terutama waktu puncak.

Malah, keadaan itu bertambah teruk apabila berlakunya kemalangan disebabkan sikap sesetengah pengguna jalan raya itu sendiri.

Bulatan yang menghubungkan Seksyen 24, Seksyen 23, Seksyen 19 dan beberapa kawasan lagi dikatakan berbahaya kerana turut menghubungkan jalan utama seterusnya membawa ke Lebuhraya Persekutuan.

Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Shukor, 50-an berkata, kemalangan sering berlaku di bulatan berkenaan termasuk membabitkan kematian berikutan tiada perhatian yang sepatutnya daripada pihak berkuasa.

Menurutnya, ribuan pengguna melalui bulatan berkenaan terutama ketika orang ramai keluar ke tempat kerja dan pulang.

Keadaan itu katanya menyebabkan kesesakan berlaku dan ia mendorong kepada berlakunya kemalangan apabila orang ramai berpusu-pusu hendak ke tempat kerja.

“Setiap hari bekerja saya perlu keluar pada jam 6.30 pagi untuk mengelak kesesakan teruk walaupun pejabat saya hanya terletak di Bukit Jelutong, yang hanya beberapa kilometer (km) dari sini.

“Saya juga pernah kerugian lebih RM600 selepas kereta saya dilanggar sebuah motosikal ketika melalui bulatan ini tahun lalu,” katanya ketika ditemui di sini.

Shukor berkata, tahun lalu juga berlaku kemalangan yang menyebabkan kematian selain kecederaan parah.

Menurutnya, penduduk di sekitar kawasan berkenaan berharap pihak berkuasa membina lampu isyarat di bulatan berkenaan supaya dapat melancarkan perjalanan pada waktu puncak sekali gus mengelakkan kemalangan.

“Dengan kemudahan lampu isyarat di bulatan ini kenderaan akan perlahan seterusnya berhenti berbanding ketika ini mereka memecut laju terutama apabila menyangka tiada kenderaan di sebelah kanan.

“Saya berharap pihak berkuasa mengambil tindakan segera supaya penduduk tidak berada dalam kebimbangan saban hari,” katanya.

Dalam pada itu Pengerusi Persatuan Penduduk Seksyen 24 Mohd Isa Mokhsin, 57, berkata, bulatan utama itu sepatutnya dilengkapi lampu isyarat bagi mengelak kejadian tidak diingini selain mengawal lalu lintas.

“Di Seksyen 24 ini, selain bulatan berkenaan, banyak juga persimpangan jalan yang seolah-olah tidak diambil perhatian oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) sehingga banyak berlaku kemalangan.

“Contohnya di persimpangan Jalan Petola 24/8, kerap berlaku kemalangan kerana pengguna jalan raya memandu laju, PBT perlu mewujudkan garisan jalur kuning di kawasan berkenaan supaya pengguna memperlahankan kenderaan mereka setiap kali melalui simpang,” katanya.

Menurutnya, penduduk di sekitar kawasan itu meminta PBT bertindak lebih proaktif bagi memastikan lokasi berkenaan selamat kepada pengguna jalan raya.

Disiarkan pada: January 31, 2016 @ 5:08am
d