mutakhir

Tipu muatan bakau

Oleh Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuala Langat: Taktik sebuah bot membawa masuk kayu bakau dari Panipahan, Indonesia, yang melebihi jumlah dibenarkan, dipatahkan Pasukan Polis Marin (PPM) Pelabuhan Klang, di perairan Kuala Langat, di sini, Khamis lalu.

Bot yang dinaiki tiga lelaki dari negara jiran berusia antara 25 hingga 45 tahun itu dikesan membawa 1,800 kayu bakau yang dianggarkan bernilai RM84,500 untuk dijual kepada pihak tertentu di negara ini, malah rampasan itu adalah yang terbesar dicatatkan PPM Pelabuhan Klang tahun ini.

Bagi menunjukkan tindakan mereka ‘bersih’, tekong bot berkenaan yang berusia 45 tahun turut mengemukakan dokumen pengisytiharan palsu kononnya mereka dibenarkan membawa kayu bakau lebih daripada 1,000 batang pada satu masa.

Pegawai Pemerintah PPM Pelabuhan Klang Deputi Superintendan Ahmad Shafiki Hussin berkata, bot berkenaan dilihat dalam keadan mencurigakan kira-kira jam 7 pagi oleh sepasukan anggota PPM Pelabuhan Klang yang menjalankan Ops Pensura.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan lanjut mendapati, bot kayu itu membawa muatan 1,800 kayu bakau yang ditutup dengan kanvas dan ia melebihi jumlah ditetapkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

“Mengikut peruntukan undang-undang negara ini, hanya RM1,000 batang kayu bakau bagi setiap bot boleh dibawa masuk ke negara ini, malah tindakan membawa masuk melebihi had yang ditetapkan adalah menjadi kesalahan.

“Selain itu, pemeriksaan dokumen oleh anggota yang bertugas juga mendapati tekong bot mengemukakan satu dokumen pengisytiharan palsu yang kononnya mereka dibenarkan membawa masuk kayu bakau lebih 1,000 batang pada satu masa,” katanya kepada Harian Metro, di sini.

Disiarkan pada: February 1, 2016 @ 7:25am
d