mutakhir

Wujud bandar mesra belia

Oleh Siti Fatimah Hassan

Tanjung Malim: Orang ramai diminta tidak keliru dengan konsep projek Bandar Belia (1MYC) yang dibangunkan kerajaan kerana ia usaha transformasi menggunakan konsep mesra belia terhadap lokasi sedia ada, bukannya pembinaan kawasan perbandaran baru.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata, konsep mesra belia yang kini diterapkan di Tanjung Malim sebagai projek perintis dilihat mampu menjadi tarikan kepada golongan muda untuk tinggal di bandar berkenaan.

Beliau berkata, usaha transformasi itu dilakukan secara berperingkat-peringkat menerusi beberapa komponen termasuk rumah mampu milik serta rumah transit.

“Saya ingin perbetulkan persepsi sesetengah orang yang beranggapan Bandar Belia ini adalah bandar baru. Sebenarnya apa yang kerajaan lakukan ialah menerapkan konsep mesra belia terhadap lokasi sedia ada.

“Lokasi Tanjung Malim ini adalah projek perintis dan kita sudah laksanakan Art Hub (Hab Seni) untuk orang muda menampilkan bakat mereka.

“Pada tahun ini juga, kita akan menaik taraf Sungai Bernam yang menghubungkan Art Hub ke Arena Square sebagai pusat rekreasi,” katanya pada sidang media selepas lawatan turun padang ke 1Malaysia Youth City di sini, semalam.

Selain Tanjung Malim, konsep Bandar Belia turut dilaksanakan di Putrajaya sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak dalam tempoh dua tahun.

Hadir sama, Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohammad Mantek.

Projek Bandar Belia antara inisiatif Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) yang turut disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Disiarkan pada: February 1, 2016 @ 7:29am
d