mutakhir

Bakeri istimewa jiran sepakat

Oleh Siti Farahiyah Aziz

Kuala Lumpur: Persatuan Penduduk Perumahan Sri Sabah B3, Cheras di sini, mengambil inisiatif menubuhkan Bakeri Jiran Wanita dan Biro Wanita Sri Sabah 3B bagi membantu meningkatkan pendapatan isi rumah khususnya golongan ibu tunggal dan suri rumah.

Pengusaha bakeri, Azizah Borhan, 54, berkata, idea penubuhan bakeri itu berikutan kesukaran penduduk di kejiranannya mendapatkan kek cawan, kuih ‘tart’ serta ‘muffin’ di kawasan berdekatan.

“Jika sebelum ini penduduk terpaksa pergi hingga ke Kajang semata-mata untuk mendapatkan kuih bagi sesuatu acara, tetapi kini kami boleh menyediakan pelbagai menu mengikut permintaan pelanggan.

“Pada masa sama, penduduk di sini boleh sama-sama turut serta bagi menambah pendapatan sampingan melalui usaha bersama,” katanya ketika ditemui di Perumahan Sri Sabah 3B sempena Majlis Perasmian Perusahaan Bakeri Jiran Wanita dan Biro Wanita di sini, semalam.

Turut hadir, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Bandar Tun Razak (BTR) merangkap Pengerusi Pusat Khidmat Komuniti BTR Datuk Chew Yin Keen dan Pengerusi Persatuan Penduduk Sri Sabah 3B Zainal Abidin Wahab.

Azizah berkata, mulai Disember lalu, 15 ahli bakeri bekerjasama menyediakan sampel menu kuih yang boleh ditempah untuk percubaan penduduk setempat.

“Sehingga kini, penduduk kejiranan yang sudah mencuba kuih yang dihasilkan memberikan maklum balas yang baik.

“Bagaimanapun, kami ada menghantar wakil mengikuti kursus bakeri dianjurkan pembekal bahan mentah supaya ilmu yang diperoleh itu boleh diperluaskan lagi,” katanya.

Sementara itu, Chew berkata, konsep ‘bakeri di rumah’ yang diperkenalkan penduduk itu bukan hanya bertujuan mendapat keuntungan, malah mampu memberikan pendapatan sampingan kepada golongan sasar.

“Saya berharap persatuan penduduk lain juga boleh mewujudkan perniagaan kecil-kecilan di kawasan perumahan mereka dalam usaha meningkatkan pendapatan sampingan sambil menguruskan keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: February 1, 2016 @ 7:32am
d