mutakhir

Kreativiti tangan kiri

Tanjung Malim: Kecacatan yang dialami sejak kecil tidak menghalang Bukhairo Ibrahim, 20, menghasilkan kreativiti dalam seni lukis apabila mengadakan pameran seni secara solo di Galeri Seni Sarang, di sini yang berakhir semalam.

Pelajar Program Pendidikan Khas Intergrasi (PPKI), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Khir Johari, di sini yang menghidap ‘cerebral palsy’ itu, turut mempamerkan kemahirannya dengan berbekalkan pensel untuk melukis gambar yang terdapat dalam telefon bimbit serta hanya menggunakan tangan kirinya.

Kira-kira 40 lukisan termasuklah potret yang dihasilkan Bukhairo dipamerkan di galeri seni yang lengkap dengan sistem penghawa dingin membuatkan beliau selesa untuk menghasilkan lukisan yang mampu menarik tetamu yang mengunjungi geleri itu.

Walaupun tidak mampu bercakap dengan lancar dan berkomunikasi menggunakan tulisan sambil duduk di atas kerusi roda, Bukhairo tetap ramah berkongsi mengenai hasil lukisannya sehingga menarik perhatian pengunjung galeri.

Lukisan yang dihasilkannya itu boleh dibeli dengan harga yang murah, hanya kira-kira RM50 saja untuk dijadikan sebagai kenangan bagi pengunjung Sarang yang kini menjadi Pusat Hub Seni untuk golongan belia negara ini.

Sarang diusahakan penerbit dan pengarah filem terkenal tanah air, Mamat Khalid adalah salah satu komponen Program Pembangunan Belia 1Malaysia bersesuaian Tanjung Malim dipilih sebagai perintis Bandar Belia 1Malaysia di Semenanjung Malaysia.

Setiausaha Majlis Daerah Tanjung Malim, Siti Azura Juki berkata, Program Pembangunan Belia 1Malaysia di Sarang kini menampakkan impak dan memberi faedah kepada golongan belia termasuk golongan orang kurang upaya (OKU) terutama mereka berminat dalam bidang seni.

Katanya, jika Bukhairo mampu merebut peluang menggilap bakat seni, ini masanya golongan belia lain yang mempunyai bakat seni turut tampil ke hadapan mengunjungi Sarang yang banyak menyediakan pelbagai aktiviti seni secara berkala itu.

“Sikap malu yang terdapat dalam segelintir golongan belia hari ini haruslah dibuang dan jangan sesekali membiarkan gejala itu menebal dalam diri kerana boleh membantutkan proses penghasilan bakat dalam diri golongan belia.

“Golongan belia juga harus menggunakan pelbagai kemudahan yang disediakan oleh pihak kerajaan terutama apabila Tanjung Malim terpilih dalam projek perintis bandar belia dan segala kemudahan itu mestilah diguna pakai sepenuhnya,” katanya.

Siti Azura berkata, pada masa akan datang dia berharap agar lebih ramai lagi golongan belia yang berbakat walaupun terdiri daripada golongan OKU dalam bidang seni dan tampil menonjolkan diri di Sarang .

Disiarkan pada: February 2, 2016 @ 4:49am
d