mutakhir

Jejak sekolah akhirnya...

Oleh Safuri Kamarudin

Baling: Impian tiga beradik yatim piatu menjejakkan kaki ke sekolah buat pertama kali akhirnya menjadi kenyataan apabila mereka memulakan sesi persekolahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Pegang, di sini, awal tahun ini.

Ketiga-tiga beradik itu, Mohd Izat Syabil Khairul Izwan, 11, bersama dua adiknya Mohd Zafri Daniel Hafifi, 10, dan Mohd Azhar Hafifi, 8, yang kematian ibu bapa dalam kemalangan jalan raya pada 2009 lalu, kini dijaga ibu angkat mereka Siti Sakinah Rosli, 30.

Siti Sakinah dari Kampung Padang Cina, Kupang, di sini, berkata, akibat kesempitan hidup selepas kehilangan ibu bapa, dia mengambil tanggung jawab menjaga ketiga-tiga anak yatim piatu itu sejak lapan tahun lalu.

Menurutnya, ibu tiga beradik itu, Allahyarham Siti Norsoleha anak angkat ibunya, Zaiton Wahab, 55, menyebabkan mereka umpama anak kandungnya.

“Semua dokumen kanak-kanak itu termasuk surat beranak hilang menyebabkan timbul masalah untuk memasuki persekolahan.

“Walaupun tidak pernah sekolah, saya mengajar mereka di rumah. Kehidupan saya serta keluarga juga susah menyebabkan persekolahan ketiga-tiga beradik itu tertangguh.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana usaha menyekolahkan mereka menjadi kenyataan apabila mendapat sijil kelahiran, baru-baru ini selepas permohonan dibuat kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” katanya.

Dia berkata demikian ketika ditemui selepas menerima sumbangan pakaian sekolah dan wang tunai untuk tiga beradik berkenaan dari wakil Balqis Textile Manufacturing Sdn Bhd Muhamad Zuki Awang di pekarangan SK Kuala Pegang, di sini, kelmarin.

Turut hadir, Guru Besar SK Kuala Pegang, Ahmad Sulaiman dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah itu Adullah Othman.

Dia akan menghantar tiga beradik berkenaan dengan menunggang motosikal sejauh tiga kilometer ke sekolah bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pelajaran.

“Saya tidak pernah membezakan mereka, malah menganggap seperti anak sendiri,” katanya.

Sementara, Mohd Izat Syabil berkata, dia bersama adiknya gembira apabila dapat belajar bersama rakan sebaya lain walaupun banyak ketinggalan dalam pelajaran.

“Kami mempunyai impian menjadi manusia berguna pada masa depan kerana saya ingin menjadi guru, manakala Mohd Zafri bercita-cita menjadi pegawai polis dan Mohd zhar Hafifi ingin menjadi juruterbang.

“Harapan kami untuk bersekolah terpendam sekian lama dan gembira apabila diterima masuk ke sekolah ini pada awal tahun ini,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2016 @ 5:18am
d