mutakhir

Sarapan percuma

Oleh Salman Hamat

Melaka: Prihatin dengan pelajarnya yang kurang berkemampuan pihak pengurusan Kolej Antarabangsa Yayasan Melaka (KAYM) mengambil inisiatif mengadakan Program Sarapan Pagi Percuma.

Ketua Pegawai Eksekutif KAYM Datuk Saroni Judi berkata, program sudah memasuki minggu keempat itu diadakan susulan isu segelintir pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) terpaksa mengikat perut akibat tidak mempunyai wang perbelanjaan.

Beliau berkata, melalui program itu pihaknya menyediakan 300 bungkusan makanan dan air mineral pada jam 9 pagi setiap Rabu dan Jumaat untuk dijamah pelajar sebelum memulakan kuliah.

“Sarapan yang disediakan pihak pengurusan KAYM bergantung kepada keadaan, antara menu yang kami sediakan sebelum ini adalah nasi lemak, bihun, kuih muih, air mineral atau air kotak.

“Pengedaran sarapan pagi percuma itu terbuka untuk semua pelajar dilakukan demi menjaga kebajikan mereka dan mengelakkan isu terpaksa mengikat perut berulang,” katanya ketika ditemui selepas mengedarkan sarapan percuma kepada pelajar KAYM, di sini, semalam.

Saroni berkata, sarapan pagi itu diuruskan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) kolej itu yang turut mendapat bantuan dalam bentuk dana daripada masyarakat sekitar dan Pusat Zakat Melaka (PZM).

Menurutnya, pihaknya dalam perancangan menubuhkan jawatankuasa bagi melancarkan tabung khas untuk mengumpul dana daripada syarikat berkaitan kerajaan, pihak swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi membantu pelajar kolej lain di Melaka.

Sementara itu, Yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar KAYM Muhammad Amirul Hafiz Rahim, 20, berkata usaha pengurusan KAYM adalah usaha yang amat bagus dalam membantu pelajar berjimat.

“Sebelum kami pernah didatangi pelajar mengadu mengikat perut, tidak kurang juga yang malu berkongsi masalah itu. Inisiatif pihak pengurusan KAYM amat membantu pelajar berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: February 2, 2016 @ 5:20am
d