mutakhir

Kawalan sempadan diperketat

Bukit Kayu Hitam: Kegiatan penyeludupan petrol dan diesel ke negara jiran dijangka kembali aktif berikutan penurunan harga bahan bakar berkenaan di negara ini berkuat kuasa semalam.

Berikutan itu, pasukan Agensi Keselamatan Sempadan (AKS) memperketatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand, di sini, untuk membendung kegiatan penyeludupan diesel dan petrol melepasi sempadan negara ini.

Komander AKS Kedah, Abd Latif Abdul Rahman berkata, pihaknya membuat pemeriksaan secara rawak dalam sekatan jalan di Kilometer 1.3 Lebuhraya Changlun ke Thailand terhadap kenderaan yang mencurigakan terutama jenis pikap untuk memastikan tiada penyeludupan bahan api berlaku.

Pihaknya tidak menolak kemungkinan penyeludup cuba mengambil kesempatan membeli petrol atau diesel di stesen minyak berhampiran untuk diseludup ke negara jiran berikutan harga pasaran di Thailand lebih mahal berbanding di negara ini.

“Kebiasaannya penyeludup akan mengubahsuai kenderaan mereka dengan tangki tambahan di ruangan tersorok untuk mengelak dikesan anggota AKS ketika pemeriksaan sedang dilakukan.

“Justeru, kita akan memeriksa semua ruang dalam kenderaan sepenuhnya untuk memastikan tidak berlaku penyeludupan termasuk barangan lain seperti bunga api dan mercun,” katanya.

Abd Latif berkata, sindiket dipercayai menggunakan pelbagai taktik untuk melakukan penyeludupan, namun pihaknya sentiasa bersedia dengan bantuan kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di beberapa lokasi di sempadan.

Disiarkan pada: February 2, 2016 @ 5:23am
d