mutakhir

Kaki kiri Ecah keluar nanah

Klang: Kaki kiri Siti Nuraisyah Sahrin, 13, yang terbabit dalam kemalangan bulan lalu mengeluarkan nanah di tempat yang dijahit semalam, namun ia tidak membimbangkan.

Abangnya Huzaini Sahrin, 26, berkata, mereka tidak dapat mengenal pasti punca kaki kiri Siti Nuraisyah atau Ecah bernanah, malah doktor juga tidak menjelaskan punca sebenar.

“Apa yang pasti nanah itu bukan berpunca daripada makanan kerana emak memantau dan menjaga semua jenis makanan yang diberikan kepada Ecah.

“Bagaimanapun ia tidak membimbangkan dan kaki kiri yang sudah dijahit ini akan dibuka jahitannya bagi tujuan pembersihan sebelum dijahit semula Khamis ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Katanya, adik perempuannya itu kini sudah mula menyesuaikan diri dengan sesi fisioterapi bagi membantunya bergerak selepas kedua-dua kakinya putus dalam kemalangan itu.

Huzaini berkata, Ecah sudah menjalani latihan fisioterapi sebanyak lima kali walaupun semalam kakinya didapati bernanah.

Menurutnya, Ecah begitu seronok dengan permainan yang disediakan dan dia sendiri bersama adiknya itu bermain menyambut bola.

Katanya, Ecah juga melakukan aktiviti seperti kayuhan tangan, baling bola dan baling gelung dalam kon.

Dalam pada itu, Huzaini berkata, dia difahamkan, Ecah akan memakai kaki palsu selepas dibenarkan pulang ke rumah disusuli dengan latihan fisioterapi bagi menyesuaikan diri dengan kaki palsu nanti.

Disiarkan pada: February 3, 2016 @ 6:07am
d