mutakhir

Tarikan terbaharu Sungai Lembing

Kuantan: Sungai Lembing memiliki tarikan pelancongan terbaharu dengan persembahan teater ‘Spear - An Untold Story Of Sungai Lembing’ berkisar kepada sejarah lokasi perlombongan bijih timah di pekan itu mulai bulan lalu.

Pengunjung boleh menyaksikan persembahan itu di panggung wayang lama Sungai Lembing, di sini pada Sabtu pertama dan ketiga setiap bulan.

Pegawai Perhubungan Awam Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) Nurul Sulaiman berkata, teater itu mempunyai dua versi iaitu versi Inggeris ditayangkan jam 10 pagi manakala versi bahasa Melayu jam 3 petang pada hari berkenaan.

“Bagi menarik kunjungan orang ramai, kami menawarkan promosi tiket sehingga Jun ini. Tiket bagi dewasa RM7.45 manakala kanak-kanak RM3.20,” katanya.

Dalam pada itu, Nurul berkata, MPK menawarkan diskaun 50 peratus menerusi program Masa Ria kepada pengunjung kolam renang di Kompleks Akuatik MPK, Wisma Belia Indera Mahkota.

Beliau berkata, ia ditawarkan dari Isnin hingga Khamis kecuali cuti umum membabitkan dua sesi iaitu antara jam 10 pagi hingga 12 tengah hari dan jam 1 tengah hari hingga 3 petang.

Katanya, bayaran masuk ditetapkan RM2.10 untuk dewasa dan kanak-kanak, RM1.05.

Disiarkan pada: February 3, 2016 @ 6:17am
d