mutakhir

Manfaat konsep e-pembelajaran

Kuala Lumpur: “Teknologi pendidikan kian berkembang pesat dan realitinya murid kini lebih ke depan dalam penggunaan teknologi, disebabkan itu warga pendidik disaran meningkatkan pengetahuan dan kemahiran teknologi maklumat,” kata Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Menurutnya, seiring dengan perkembangan teknologi terkini, guru disaran sentiasa mendahului pelajar dalam menyediakan kondisi pembelajaran terbaik kepada murid.

“Konsep pembelajaran tanpa sempadan seperti e-pembelajaran berpotensi merevolusikan pendidikan selain mengurangkan kekangan fizikal pembelajaran tradisional.

“Selain itu, konsep pembelajaran secara pengkomputeran yang boleh diakses pada bila-bila masa memudahkan murid untuk memperoleh sumber pendidikan secara fleksibel dan lancar,” katanya pada Majlis Anugerah Program Guru Muda 1Malaysia (GM1M) dalam Virtual Learning Environment (VLE) sebagai platform pengajaran dan pembelajaran di sini, semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Menteri Pendidikan II, Chong Sin Woon.

Katanya, sehingga kini, seramai 5,000 warga pendidik menyertai program GM1M sebagai perintis kepada golongan guru untuk menambah baik kaedah pengajaran dan pembelajaran di sekolah.

Sementara itu, Chong berkata, kementerian akan mengarahkan pegawai Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) untuk menyiasat insiden murid Tahun Satu yang meninggal dunia akibat terjatuh dalam lubang kumbahan di sebuah sekolah di Jasin, Melaka, kelmarin.

“Kita turut sedih dengan insiden itu. Tindakan tegas akan diambil jika didapati pengurusan sekolah tidak mematuhi piawaian dan aspek keselamatan sewajarnya,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2016 @ 6:40am
d