mutakhir

Sukar kawal virus Zika

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

Seremban: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan pihaknya berdepan cabaran sukar mengawal penularan virus Zika berikutan penghidap penyakit terbabit tidak menunjukkan simptom jangkitan virus berkenaan.

Menterinya Datuk Seri Dr S Subramaniam berkata, 70 peratus penghidap penyakit bawaan nyamuk itu tidak mempunyai tanda awal dan sukar dikesan pihak perubatan.

Menurutnya, lebih membimbangkan, virus berkenaan boleh merebak dengan pantas dan disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk aedes iaitu vektor sama bagi demam denggi dan setakat ini, tiada vaksin dapat mencegah penyakit itu.

Berikutan itu, katanya, kementerian dengan kerjasama agensi berkaitan mengeluarkan garis panduan mengawal penularan penyakit dan langkah pencegahan awal perlu diambil masyarakat dalam tempoh dua hari lagi.

“Satu perkara menyusahkan kita (kementerian) dalam kawalan penyakit itu ialah 70 peratus daripada mereka tidak ada simptom.

“Apabila seseorang tiada simptom, mereka tidak berjumpa doktor sedangkan virus itu berada dalam badan. Sekiranya digigit nyamuk, virus itu merebak.

“Meskipun penyakit itu bawaan nyamuk aedes seperti denggi, tetapi berbeza kerana denggi mempunyai simptom seperti demam, sakit badan dan bintik merah dapat membantu kita mengesannya,” katanya.

Disiarkan pada: February 3, 2016 @ 6:42am
d