mutakhir

Virus Zika darurat kesihatan global

Oleh Rizanizam Abdul Hamid

Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan menggesa rakyat negara ini supaya lebih proaktif dalam membanteras pembiakan nyamuk aedes yang bukan sahaja menyebabkan denggi, malah terbaru punca kepada virus Zika yang mencemaskan masyarakat dunia.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham berkata, ia selaras dengan keputusan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang mengisytiharkan virus Zika sebagai darurat kesihatan global dan memerlukan tindak balas yang diselaraskan di semua peringkat.

“Masyarakat negara ini perlu lebih bersungguh-
sungguh dalam memerangi nyamuk aedes yang menjadi punca penularan virus berkenaan.

“WHO sudah mengisytiharkan Zika sebagai darurat kesihatan global. Semoga ini akan memberi lebih rangsangan kepada kita untuk menghapuskan nyamuk aedes supaya dapat menangani kedua-dua penyakit, denggi dan Zika serentak,” katanya menerusi Facebooknya (FB), semalam.

Beliau turut berkongsi kenyataan WHO berkenaan yang dilaporkan laman web BBC News melalui FBnya.

Sementara itu, laporan berkenaan menyebut, Ketua Pengarah WHO Margaret Chan menyifatkan Zika sebagai satu ‘peristiwa yang luar biasa’ dan memerlukan maklum balas diselaraskan, selain turut meletakkan virus itu dalam kategori yang sama membimbangkan seperti Ebola.

“Saya kini mengisytiharkan bahawa penyakit yang turut dikaitkan dengan microcephaly iaitu kelahiran bayi dengan kepala serta otak mengecil yang dilaporkan di Amerika Latin sebagai satu kecemasan kesihatan awam yang menjadi perhatian antarabangsa,” katanya.

Sebelum ini, WHO mengeluarkan amaran supaya negara beriklim tropika di Asia Tenggara bersiap sedia menghadapi penularan virus Zika bawaan nyamuk yang menjangkiti empat juta penduduk di benua Amerika dan tidak mempunyai rawatan atau vaksin khusus.

Semalam, WHO turut berdebat jika wabak jangkitan virus Zika disyaki penyebab peningkatan kecacatan serius kelahiran di Amerika Selatan perlu dianggap satu kecemasan kesihatan global.

Disiarkan pada: February 3, 2016 @ 6:44am
d